Anak muda tolak kerjaya korporat demi teruskan legasi kuil kaca di Johor

18 Okt 2025, 3:45 AM
Anak muda tolak kerjaya korporat demi teruskan legasi kuil kaca di Johor

JOHOR BAHRU, 18 OKT: Setiap kali menjelang sambutan Deepavali, deretan cahaya lampu dan pantulan mozek kaca dari Kuil Kaca Arulmigu Sri Rajakaliamman menerangi pekan Johor Bahru, mencipta suasana yang menggamit rasa tenang dan kekaguman dalam kalangan pengunjung pelbagai latar belakang.

Lebih daripada sekadar rumah ibadat, kuil unik yang diasaskan pada 1922 itu menjadi mercu tanda warisan budaya, seni bina dan perpaduan masyarakat, yang menampilkan hampir 300,000 kepingan kaca berwarna-warni yang meliputi dinding, lantai dan siling, sekali gus menjadikannya kuil kaca pertama di Malaysia diiktiraf Malaysia Book of Records pada 2010.

Namun, di sebalik keindahan yang tersergam itu, tersimpan sebuah kisah luar biasa tentang seorang anak muda S. Maheshwara, 26, yang memilih jalan untuk menyambung legasi tiga generasi keluarganya.

Beliau adalah pelajar cemerlang yang memperoleh 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kemudian melanjutkan pengajian di University of Reading Malaysia, graduan terbaik dalam bidang Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Pengurusan Perniagaan.

“Saya pernah menerima beberapa tawaran kerja daripada syarikat korporat, termasuk di Singapura tapi ada satu ‘tangan ghaib’ yang seolah-olah menarik saya kembali ke kuil ini. Saya tahu, ini adalah jalan hidup saya,” katanya ketika ditemui Bernama di kuil yang terletak di Jalan Tun Abdul Razak di sini baru-baru ini.

Bagi Maheshwara, keputusan untuk menolak peluang kerjaya berpendapatan tinggi bukan satu kehilangan tetapi satu bentuk pengabdian kepada Tuhan, keluarga dan masyarakat.

Beliau memegang peranan sebagai bendahari kuil dan menjadi penyelaras utama dalam pelbagai urusan keagamaan serta logistik di kuil berkenaan.

“Mungkin ada yang anggap tindakan saya ini tidak rasional tapi bagi saya, inilah cara terbaik untuk menyumbang. Saya tidak lakukan ini untuk wang. Ini adalah ibadah saya,” katanya.

Kuil yang kini dikendalikan oleh bapanya S. Sinnathamby, 59, selaku Pengerusi Kuil Kaca Arulmigu Sri Rajakaliamman telah menjalani kerja baik pulih besar-besaran sejak 2020, termasuk pembinaan semula Gopuram (menara kuil) dan penggantian hampir keseluruhan kaca mozek asal yang telah pudar.

“Kami menggantikan kira-kira 90 peratus daripada kaca lama dengan bahan baharu yang diimport dari Thailand dan China. Ia bukan kerja mudah, proses ini memerlukan ketelitian kerana setiap kepingan kaca ada nilai keistimewaannya,” katanya.

Kerja baik pulih yang menelan belanja hampir RM2 juta itu selesai pada Mac tahun lepas selepas tertangguh selama dua tahun akibat pandemik Covid-19, namun hasilnya kini menjadikan kuil lebih menyerlah dan kembali bersinar.

Maheshwara berkata kerja pemulihan kuil itu dilakukan tanpa menjejaskan operasi harian, menyebabkan beliau dan pasukannya bekerja hingga ke awal pagi pada setiap malam, semata-mata mahu memastikan kesucian dan keindahan kuil terpelihara.

Kini, menjelang sambutan Deepavali pada Isnin, Maheshwara dan pasukannya giat membuat persiapan terakhir bagi menerima ribuan penganut Hindu yang dijangka hadir untuk sembahyang di kuil berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada tradisi kuil, beliau berkata pihak pengurusan turut menyediakan makanan vegetarian percuma kepada semua pengunjung tanpa mengira kaum dan agama, selaras dengan semangat perpaduan yang dibawa oleh perayaan Deepavali.

“Cahaya Deepavali bukan hanya datang daripada lampu atau kaca. Ia datang daripada kasih sayang, nilai dan perpaduan yang kita bina bersama,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619