Tragedi Gunung Liang: Dua malim gunung ditahan

18 Okt 2025, 3:00 AM
Tragedi Gunung Liang: Dua malim gunung ditahan

IPOH, 17 Okt: Jabatan Perhutanan Negeri Perak menahan dua malim gunung berusia 40-an bagi membantu siasatan tidak memiliki permit sah untuk memasuki kawasan hutan simpan di Perak, susulan kematian seorang pendaki di Gunung Liang dekat Tanjong Malim, yang ditemukan semalam.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Polis Perak DCP Mohammad Azlin Sadari yang berkata semakan mendapati kumpulan itu hanya mempunyai permit sah bagi laluan di Bukit Fraser, Pahang iaitu lokasi mereka memulakan aktiviti mendaki.

“Tangkapan dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984, bagaimanapun mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan permit dan kebenaran sebelum melakukan aktiviti pendakian terutama bagi laluan yang merentasi sempadan negeri untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Mohammad Azlin berkata mangsa Mustaqqeem Mansoor, 34, dari Sungai Petani, Kedah meninggal dunia kerana masalah kesihatan dan bukan disebabkan jatuh.

“Mangsa sebelum itu mengalami kecederaan dan apabila kesemua pendaki turun, hanya mangsa yang tidak muncul,” katanya.

Mohammad Azlin berkata mangsa mendaki bersama 10 rakan dari Bukit Fraser menuju ke puncak sebelum turun melalui laluan Gunung Liang.

Beliau berkata usaha membawa turun mayat sedang dijalankan pihak berkuasa bersama-sama pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

Semalam, JBPM Perak memaklumkan mangsa yang dilaporkan hilang sejak dua hari lepas ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat pada 3.30 petang, dan usaha membawa turun mayat dilakukan hari ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619