Anwar pertahan Khazanah labur RM600 juta baik pulih Carcosa Seri Negara

15 Okt 2025, 3:49 AM
Anwar pertahan Khazanah labur RM600 juta baik pulih Carcosa Seri Negara
Anwar pertahan Khazanah labur RM600 juta baik pulih Carcosa Seri Negara

PUTRAJAYA, 15 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sebanyak RM600 juta bagi pemuliharaan bangunan warisan di Kuala Lumpur termasuk Carcosa Seri Negara yang disifatkan mempamerkan kepentingan sejarah dan identiti nasional.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bangunan bersejarah itu bukan sekadar peninggalan era silam, sebaliknya simbol warisan Raja-Raja Melayu serta perjalanan negara menuju kemerdekaan.

“Isu Carcosa ini dibangkitkan...masalahnya, kadang-kadang pembangkang tidak membaca. Ini (Carcosa) ialah warisan. Saya bangga dengan sejarah saya, saya bangga dengan bangunan Carcosa sebagai warisan Raja-Raja Melayu yang mempunyai peranan tersendiri.

“Kuala Lumpur perlu dikenali sebagai sebuah kota moden dari segi teknologi dan segar budayanya. Apabila kita mula melabur di situ, ia akan menarik pelaburan lain untuk berkembang di sekitarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bagi bulan Oktober di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas, Anwar memaklumkan Khazanah memperuntukkan RM600 juta untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah Carcosa Seri Negara.

Carcosa Seri Negara dibina pada 1896 oleh Sir Frank Swettenham, Residen-Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, dan dijadikan kediaman rasminya sejak 1904. Bangunan bersejarah itu juga pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.

Menurut Anwar, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Kuala Lumpur itu tidak bermaksud bangunan atau rumah ibadat di sekitarnya akan diabaikan.

“...kita pastikan bangunan lain termasuk gereja dan kuil Hindu tidak diabaikan, sebaliknya dibangunkan bersama,” katanya.

Dua hari lepas (13 Okt), Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir menjelaskan bahawa pelaburan berjumlah RM600 juta bagi pemuliharaan warisan di Kuala Lumpur bukan sahaja merangkumi kerja-kerja pemulihan Carcosa Seri Negara, tetapi juga melibatkan enam blok bangunan di Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad, ibu negara.

Amirul Feisal berkata, pelaburan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Warisan KL, yang bertujuan menggiatkan semula warisan ibu kota serta mentakrifkan semula peranannya sebagai hab budaya dan ekonomi.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619