Selangor cadang sebahagian cukai vape disalur kepada negeri, PBT

9 Okt 2025, 12:10 PM
Selangor cadang sebahagian cukai vape disalur kepada negeri, PBT

SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan Selangor mencadangkan sebahagian kutipan cukai hasil penjualan produk vape disalurkan terus kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Kesihatan Awam berkata langkah itu bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan serta menangani kesan negatif penggunaan vape di peringkat akar umbi.

Menurut Jamaliah Jamaluddin, langkah itu juga penting bagi memastikan hasil cukai dimanfaatkan secara langsung untuk tujuan kesihatan awam dan kawalan industri vape.

"Jika tidak, cukai yang dikutip tidak akan memberi impak langsung dalam melancarkan tindakan penguatkuasaan, terutamanya apabila PBT kekurangan sumber dan tenaga kerja untuk membendung penjualan vape secara berkesan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, tanpa agihan sumber yang sewajarnya kepada kerajaan negeri dan PBT, usaha penguatkuasaan akan tertumpu di peringkat pusat sahaja dan boleh menjejaskan pelaksanaan menyeluruh, terutama di negeri besar seperti Selangor.

"Cadangan itu meliputi keperluan sokongan sumber bagi operasi bersepadu terhadap premis menjual vape haram, pelaksanaan program advokasi komuniti, pemantauan kawasan larangan, serta rawatan pemulihan individu ketagihan nikotin.

"Kerajaan Selangor turut menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan mekanisme kolaboratif antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam isu pengawalan vape, dengan mengambil kira pandangan serta keperluan tempatan," katanya.

Tambah beliau, kerjasama erat antara kerajaan pusat, negeri dan PBT amat penting bagi memastikan tindakan kawalan vape dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap hal ehwal kesihatan awam, Kerajaan Negeri Selangor mengambil maklum hasrat KKM untuk memperketatkan kawal selia terhadap produk vape demi melindungi golongan remaja dan masyarakat umum daripada risiko kesihatan serius," ujarnya.

KKM sebelum ini mencadangkan kadar cukai ke atas cecair rokok elektronik dinaikkan sepuluh kali ganda daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter (ml), sebagai langkah membendung penggunaan produk itu dalam kalangan rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619