Sumud Nusantara mohon PM atur gerakan kedua misi bantuan ke Gaza

8 Okt 2025, 2:56 PM
Sumud Nusantara mohon PM atur gerakan kedua misi bantuan ke Gaza

SHAH ALAM, 8 OKT: Sumud Nusantara Malaysia memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatur gerakan kedua misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby mencadangkan, misi kedua itu dibuat dengan penghantaran bantuan melalui jalan darat di Mesir.

“Datuk Seri (Anwar) saya mohon izin untuk mengatur gerak gerakan sumud nusantara ini ke bumi mesir, saya tahu Datuk Seri ada hubungan baik dengan Presiden Mesir Fattah Al Sisi.

“Datuk Seri boleh mainkan peranan penting yang luar biasa tak terjangkau oleh kita, kami mohon izin untuk bagi laluan kepada Sumud Nusantara Malaysia untuk membuat gelombang kedua menghantar bantuan melalui darat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini.

Sani turut memohon Anwar memainkan peranan sebagai Chef De Mission dalam usaha Malaysia membebaskan Gaza dari cengkaman zionis.

“Kita tidak mempunyai pilihan, kami bersedia dan insya-allah kami akan mulakan dan saya mohon sekali lagi Datuk Seri (Anwar) andai Gaza bebas hingga dari gencatan senjata.

“Kami mohon Datuk Seri menjadi tonggak di depan, memakai jaket yang sama, untuk menjadi Chef De Mission dalam memastikan Malaysia membebaskan Gaza,” ujarnya lagi.

Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Kesemua mereka dilapor dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada jam 6.45 petang waktu Malaysia pada Sabtu, sebelum tiba di Istanbul pada jam 8.40 malam waktu Malaysia.

Semua 23 sukarelawan warga Malaysia yang dibebaskan selepas ditahan tentera Israel selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) malam tadi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619