Kerajaan Selangor hulur sumbangan Deepavali kepada pekerja pembersihan Bangunan SUK

8 Okt 2025, 8:00 AM
Kerajaan Selangor hulur sumbangan Deepavali kepada pekerja pembersihan Bangunan SUK
Kerajaan Selangor hulur sumbangan Deepavali kepada pekerja pembersihan Bangunan SUK
Kerajaan Selangor hulur sumbangan Deepavali kepada pekerja pembersihan Bangunan SUK

SHAH ALAM, 8 OKT: Seramai 25 pekerja pembersihan berbangsa India yang bertugas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor menerima bakul makanan dan sumbangan tunai sempena sambutan Deepavali daripada Kerajaan Negeri hari ini.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata inisiatif itu sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap jasa pekerja yang sentiasa memastikan kebersihan serta keselesaan persekitaran pejabat Kerajaan Negeri.

“Pagi ini saya berkesempatan menyerahkan sumbangan makanan asas dan wang tunai kepada pekerja pembersihan sempena sambutan Deepavali yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak membantu mereka membuat persiapan menyambut perayaan penuh makna ini,” katanya kepada Media Selangor selepas majlis penyerahan berlangsung pagi tadi.

Program itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menghargai sumbangan golongan pekerja berpendapatan rendah, khususnya mereka yang berkhidmat di bawah kontraktor pembersihan dan penyelenggaraan fasiliti kerajaan.

Sepanjang tahun ini, pelbagai inisiatif kebajikan dilaksanakan termasuk Bakul Rahmah Selangor, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dan bantuan tunai perayaan di bawah dasar Selangor Penyayang, bagi meringankan kos sara hidup rakyat pelbagai kaum.

Langkah berterusan ini bukan sekadar bantuan bermusim, tetapi cerminan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kesejahteraan sosial golongan pekerja terus terpelihara.

Bagi para penerima, sumbangan ini bukan sahaja meringankan beban, malah menjadi pengiktirafan terhadap kerja keras mereka yang sering tidak kelihatan di sebalik kebersihan bangunan kerajaan.

Seorang penerima yang mahu dikenali sebagai Chandra, 61, melahirkan rasa syukur atas bantuan diterima.

“Saya ucap terima kasih kepada YB dan semua yang terlibat. Gembira dapat barang dapur dan wang tunai,” katanya dengan senyuman.

Sementara itu, Thanaletchumy, 46, berkata sumbangan tersebut membantu menyediakan keperluan menjelang Deepavali.

“Saya dapat sambut dengan lebih meriah dan harap setiap tahun ada bantuan seperti ini. Terima kasih YB,” ujarnya.

Bagi Manikam, 59, bantuan tunai itu membolehkan beliau membeli baju baharu untuk keluarga sempena perayaan.

“Saya dapat sambut Deepavali dengan meriah sebab boleh beli barang dapur dan baju baharu. Syukur,” katanya.

Para penerima berharap agar inisiatif seumpama ini diteruskan setiap tahun sebagai tanda keprihatinan berterusan Kerajaan Negeri terhadap golongan pekerja berpendapatan rendah, khususnya menjelang musim perayaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619