Dadah bernilai RM12.9 juta dirampas, polis buru dua suspek

8 Okt 2025, 3:58 AM
Dadah bernilai RM12.9 juta dirampas, polis buru dua suspek

IPOH, 8 OKT: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM12.9 juta hasil pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 375 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Slim River, Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata sebelum itu, kira-kira 1.30 tengah hari, Pasukan Peronda Lebuhraya (EMPV) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman telah mengarahkan MPV itu berhenti, namun pemandunnya enggan memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri.

Beliau berkata polis kemudian mengejar MPV itu sejauh kira-kira dua kilometer sebelum suspek memberhentikan kenderaan berkenaan dengan dua individu melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Usaha untuk menjejaki kedua-dua suspek sedang giat dijalankan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Noor Hisam berkata hasil pemeriksaan menemukan 15 karung guni mengandungi dadah disyaki methamphetamine dianggarkan 374 kilogram (kg) serta satu bungkusan plastik berwarna hitam berisi dadah dipercayai heroin seberat 11.28 kg yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM12.9 juta.

Beliau berkata jumlah rampasan dadah itu adalah terbesar di Perak setakat ini yang dipercayai untuk diedarkan di pasaran Lembah Klang dan boleh digunakan lebih 3.7 juta penagih.

Noor Hisam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang dirampas didaftarkan atas nama seorang wanita

"Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah kerana ia merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang," katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619