Rakyat Malaysia terus bersama perjuangan Palestin - Aktivis GSF

8 Okt 2025, 1:46 AM
Rakyat Malaysia terus bersama perjuangan Palestin - Aktivis GSF
Rakyat Malaysia terus bersama perjuangan Palestin - Aktivis GSF
Rakyat Malaysia terus bersama perjuangan Palestin - Aktivis GSF

SEPANG, 8 OKT: Sambutan meriah kepulangan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi, membuktikan suara rakyat Malaysia sentiasa bersama perjuangan rakyat Palestin.

Sukarelawan GSF, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee, berkata kehadiran ratusan rakyat Malaysia yang menyambut kepulangan mereka menjadi simbol solidariti terhadap perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis.

“Saya bangga melihat rakyat Malaysia bersatu menyambut kami malam ini. Semoga suara dan semangat ini terus digunakan untuk menuntut pembebasan Palestin,” katanya pada sidang media selepas ketibaan sukarelawan GSF di KLIA, malam tadi.

Farah menjelaskan, simbol perjuangan ‘Sumud’ yang dibawa dalam misi tersebut menggambarkan keteguhan rakyat Palestin mempertahankan hak dan maruah mereka walau berdepan kezaliman rejim Israel.

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan GSF, Nurul Hidayah Mohd Amin atau Ardell Aryana, menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sambutan luar biasa yang diberikan.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan terus memberi sokongan.Saya harap semua dapat bersama kami demi solidariti untuk Palestin,” katanya.

Terdahulu, seramai 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi GSF ke Gaza tiba di tanah air malam tadi dalam suasana penuh emosi dan kesyukuran di KLIA Terminal 1.

Ketibaan mereka disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Farah Lee (kapal Grande Blu) dan Ardell Aryana (kapal Mikeno) antara aktivis yang ditahan rejim Zionis pada 2 Oktober lalu selepas kapal mereka dipintas di perairan zon merah R3, Laut Mediterranean, sebelum dibawa ke pelabuhan Asdod, Israel.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619