KWSP daftar automatik pekerja bukan warganegara mulai Oktober

7 Okt 2025, 10:31 AM
KWSP daftar automatik pekerja bukan warganegara mulai Oktober

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Pendaftaran ahli daripada kalangan pekerja bukan warganegara Malaysia yang juga pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian akan dilaksanakan secara automatik bermula Oktober 2025, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam kenyataannya hari ini, dana persaraan itu berkata langkah berkenaan bertujuan mengelak keperluan untuk pekerja hadir ke pejabat KWSP dan majikan dapat mengesahkan butiran pendaftaran pekerja masing-masing secara dalam talian melalui akses kemudahan i-Akaun (Majikan).

Majikan terbabit juga telah dimaklumkan mengenai proses baharu ini melalui surat notis yang dihantar mulai 20 September 2025.

“Mereka (majikan) perlu membuat janji temu melalui pautan URL dalam surat notis bagi pekerja yang gagal didaftarkan secara automatik serta bagi tujuan kemas kini maklumat dan pengesahan cap ibu jari pekerja yang berjaya didaftarkan,” katanya.

Menurut dana persaraan itu, bagi ahli pemegang pas lain, usaha pendaftaran dan kemas kini rekod boleh dilaksanakan di cawangan KWSP di serata negara.

Majikan juga, katanya, boleh terus membayar caruman menggunakan nombor KWSP diberikan dan bertanggungjawab memastikan caruman bulanan pekerja dipotong daripada gaji bulanan dan dibayar kepada KWSP pada atau sebelum 15 haribulan setiap bulan.

KWSP berkata dasar baharu berkuatkuasa pada 1 Oktober 2025 itu juga menetapkan semua syarikat yang belum berdaftar untuk berbuat demikian, mendaftar pekerja sebagai ahli manakala majikan serta pekerja masing-masing perlu mencarum sebanyak dua peratus daripada gaji pekerja.

“Majikan perlu mengemas kini dan menyimpan rekod penggajian pekerja untuk semakan KWSP, mengemas kini maklumat perhubungan, pertukaran nama dan status syarikat, memaklumkan penamatan operasi atau pemberhentian kesemua pekerja.

“Selain itu, majikan hendaklah menasihatkan pekerja untuk memohon Pengeluaran Meninggalkan Negara dalam tempoh dua bulan sebelum tamat pas jika tidak bercadang menyambung pas kerja terbabit serta memastikan dokumen sokongan bagi semua pengeluaran yang layak telah disahkan, lengkap dan teratur,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, majikan dan pihak berkepentingan boleh merujuk halaman khas di laman web KWSP : Caruman Untuk Pekerja Bukan Warganegara Malaysia - KWSP Malaysia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619