Dua penjaga gol Harimau Malaya digugur kerana faktor kesihatan

6 Okt 2025, 12:15 PM
Dua penjaga gol Harimau Malaya digugur kerana faktor kesihatan

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Dua penjaga gol kebangsaan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Suhaimi Husin, dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya menjelang aksi kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos Khamis ini, bagi menggantikan rakan sepasukan yang mengalami masalah kesihatan.

Menurut hantaran di Facebook rasmi pasukan bola sepak negara Malaysia NT, kedua-dua pemain itu menggantikan Muhammad Azri Abdul Ghani dan Muhammad Haziq Nadzli yang terpaksa meninggalkan kem latihan atas faktor kesihatan.

Jumaat lepas, ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski mengumumkan senarai 29 pemain termasuk tiga muka baharu iaitu Declan Lambert, Jordan Mintah dan Muhammad Ramadhan Saifullah ke kem latihan pusat pasukan negara di Vientiane bermula hari ini.

Anak buah Cklamovski dijadualkan berlepas ke Vientiane hari ini sebelum pertembungan dengan Laos berlangsung di Stadium New Laos National pada Khamis.

Pasukan negara kemudian akan menyambung kem latihan pusat bermula 10 hingga 13 Okt di sini, sebagai persediaan menghadapi Laos dalam aksi timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa depan.

Malaysia kini berada di landasan tepat dalam misi membuat penampilan kedua berturut-turut di pentas Piala Asia apabila mendahului saingan Kumpulan F dengan enam mata, diikuti Vietnam di tempat kedua berkongsi tiga mata dengan Laos, dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619