Bah di Kedah: 624 hektar sawah tenggelam, rugi RM4.6 juta

6 Okt 2025, 8:00 AM
Bah di Kedah: 624 hektar sawah tenggelam, rugi RM4.6 juta

PENDANG, 6 OKT: Seluas 624 hektar tanaman padi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah III di sini ditenggelami banjir berikutan hujan lebat Jumaat lepas, menyebabkan kerugian kira-kira RM4.6 juta.

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata hampir keseluruhan tanaman yang sedang menunggu masa untuk dituai musnah akibat bencana itu.

Beliau berkata kerugian adalah berdasarkan kepada purata kiraan hasil lima tan padi bagi setiap hektar sawah, manakala bancian kerugian akan dilaksanakan selepas ini bagi urusan pampasan kepada pesawah terjejas.

“Kita tunggu arahan Jabatan Pertanian untuk mula buat bancian dan pampasan atau insurans bergantung kepada bancian yang dibuat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan kawasan tanaman padi yang ditenggelami banjir di Kampung Permatang Limau di sini, hari ini.

Ismail berkata masalah banjir di kawasan itu akan dapat diatasi selepas projek rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Anak Bukit dan Sungai Pendang siap kelak, yang dijangka mampu menampung hingga 80 peratus aliran air dari kawasan hulu.

“Isu lain ialah purata turunan hujan di Kedah setahun adalah dalam 2,100 milimeter (mm) dan hingga Oktober kita telah terima hujan sebanyak 1,400 mm,” katanya.

Beberapa daerah di Kedah terjejas banjir sejak Jumaat lepas dan setakat pagi tadi 164 orang daripada 51 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar di Kota Setar dan Dewan Serbaguna di Pokok Sena.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619