BSMM seru lindungi petugas kemanusiaan, hormati akses bantuan ke Gaza

6 Okt 2025, 6:34 AM
BSMM seru lindungi petugas kemanusiaan, hormati akses bantuan ke Gaza

SHAH ALAM, 6 OKT: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menyambut baik pembebasan 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza selepas ditahan pihak berkuasa Israel.

Setiausaha Agung BSMM, Dato’ Danial Iskandar bin Abdul Rahman berkata pembebasan itu hasil usaha diplomatik berterusan Kerajaan Malaysia khususnya pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Kementerian Luar Negeri.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk rakan antarabangsa yang terlibat dalam usaha kemanusiaan ini,” katanya dalam kenyataan media.

Namun begitu, beliau menyatakan keprihatinan terhadap penahanan ratusan lagi aktivis dan pekerja kemanusiaan dari pelbagai negara yang menyertai misi sama.

Dato’ Danial menyeru agar semua sukarelawan yang masih ditahan dibebaskan segera dan tanpa syarat serta menekankan keperluan bantuan kemanusiaan dihantar ke Gaza tanpa halangan.

“Sebagai badan auksiliari kepada Kerajaan, BSMM komited menyokong usaha yang mengutamakan keselamatan warganegara Malaysia.

“Petugas kemanusiaan dan orang awam mesti sentiasa dilindungi serta dibenarkan menjalankan tugas mereka dengan selamat,” tegasnya.

Dalam masa sama, BSMM menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik agar segera mencapai gencatan senjata demi menghentikan penderitaan berpanjangan.

Kenyataan itu turut menyeru masyarakat antarabangsa memperkukuh usaha diplomatik bagi menamatkan konflik dan menegakkan prinsip kemanusiaan walaupun dalam situasi krisis.

BSMM menegaskan komitmen berterusan dalam meringankan penderitaan, menjunjung maruah insan serta mempromosikan keamanan melalui tindakan kemanusiaan yang berprinsip.


Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619