Trump puji 'perbincangan sangat positif dengan Hamas' menjelang mesyuarat di Mesir

6 Okt 2025, 1:29 AM
Trump puji 'perbincangan sangat positif dengan Hamas' menjelang mesyuarat di Mesir

WASHINGTON, 6 OKT: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad berkata rundingan yang sedang berlangsung dengan Hamas mengenai cadangan gencatan senjata di Gaza sedang menunjukkan kemajuan pesat menjelang mesyuarat penting di Mesir.

“Terdapat perbincangan yang sangat positif dengan Hamas serta negara-negara dari seluruh dunia (Arab, Islam dan lain-lain) pada hujung minggu ini bagi membebaskan tawanan, menamatkan perang di Gaza dan yang lebih penting, mencapai keamanan yang telah lama diidam-idamkan di Timur Tengah.

“Perbincangan ini berjalan dengan sangat baik dan pantas.

"Pasukan teknikal akan sekali lagi bermesyuarat pada Isnin di Mesir untuk membincangkan dan memperincikan butiran akhir.

"Saya dimaklumkan bahawa fasa pertama dijangka selesai minggu ini, dan saya meminta semua pihak mempercepatkan proses,” kata Trump dalam kenyataan di platform Truth Social miliknya, menurut laporan Anadolu Ajansi.

Presiden AS itu berkata beliau akan terus memantau keadaan, sambil menegaskan bahawa “masa amat penting, jika tidak, pertumpahan darah besar-besaran akan berlaku.”

Terdahulu pada Ahad, Hamas mengumumkan bahawa satu delegasi yang diketuai Khalil al-Hayya telah tiba di Mesir “bagi memulakan rundingan mengenai mekanisme gencatan senjata, pengunduran tentera Israel dan pertukaran tahanan.”

Hamas tidak menjelaskan tempoh lawatan atau butiran agenda, namun pusingan baharu rundingan itu berlangsung ketika usaha serantau dan antarabangsa semakin giat bagi menamatkan perang Israel ke atas Gaza yang telah berlarutan hampir dua tahun.

Israel sebelum ini berkata pasukan perundingnya akan berlepas ke bandar peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh, pada Isnin bagi mengadakan rundingan tidak langsung mengenai pertukaran tahanan dengan Hamas di bawah pelan Gaza anjuran Trump.

Pada 29 Sept, Trump memperkenalkan pelan 20 perkara yang merangkumi pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, gencatan senjata, pelucutan senjata Hamas serta pembinaan semula Gaza.

Hamas telah bersetuju dengan pelan itu secara prinsip, dan rundingan susulan dijadualkan berlangsung di Mesir.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619