Bapa tak sangka tonton video kemalangan anak sendiri

5 Okt 2025, 12:30 PM
Bapa tak sangka tonton video kemalangan anak sendiri

KEPALA BATAS, 5 OKT: Seorang warga emas tidak menyangka rakaman video kemalangan tular di media sosial membabitkan sebuah kereta terbakar di Jalan Permatang Baru Sungai Lokan di sini semalam, yang ditontonnya melibatkan anak kandungnya.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, dua individu dilaporkan rentung selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan merempuh timbunan tanah sebelum terbakar.

Ahmad Lin @ Mustafa, 74, berkata dia hanya mengetahui seorang daripada mangsa ialah anaknya, Mohd Fitri, 35, selepas dimaklumkan rakan arwah yang datang ke rumah di Kampung Teluk Amboi, Kuala Muda, Kedah kira-kira 5 petang semalam.

“Pakcik tak sangka mangsa kemalangan itu adalah Mohd Fitri sebab dia tak maklum kepada keluarga dia keluar dengan rakannya ke Perak.

“Pakcik hanya tahu dia terlibat kemalangan dan kereta dinaiki rentung selepas rakan-rakannya datang ke rumah petang semalam sebelum bergegas ke Hospital Kepala Batas (HKB),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKB di sini hari ini.

Meskipun sedih dengan kejadian meragut nyawa anak kelapan daripada 10 beradik itu, Ahmad berkata mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Sebagai bapa, kehilangan ini amat berat kerana sebelum ini saya pernah kehilangan anak perempuan berusia tujuh tahun dalam kebakaran kelambu pada tahun 70-an,” katanya.

Ahmad berkata keluarganya kini masih menunggu proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan dijalankan esok menggunakan sampel anak perempuannya iaitu kakak mangsa sebelum mereka dapat menuntut jenazah Mohd Fitri, kemungkinan mengambil masa tiga minggu hingga sebulan berikutan keadaan mangsa hanya tinggal rangka.

Difahamkan identiti seorang lagi mangsa rentung masih belum dapat dipastikan.

Sementara itu, adik arwah Mohd Arif, 31, berkata abangnya seorang yang rajin, disenangi rakan-rakan dan tidak tahu memandu kereta.

“Arwah seorang yang ‘simple’, rajin buat kerja rumah dan tidak suka keadaan bersepah. Kali terakhir saya jumpa arwah sehari sebelum kejadian kerana kami tinggal bersama,” katanya.

Semalam, polis memaklumkan identiti kedua-dua mangsa rentung akibat merempuh timbunan tanah di Jalan Permatang Baru di sini, masih belum dikenal pasti.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619