Mangsa banjir Johor meningkat, Perak, Kedah berkurang

4 Okt 2025, 10:13 AM
Mangsa banjir Johor meningkat, Perak, Kedah berkurang
Mangsa banjir Johor meningkat, Perak, Kedah berkurang
Mangsa banjir Johor meningkat, Perak, Kedah berkurang
Mangsa banjir Johor meningkat, Perak, Kedah berkurang
Mangsa banjir Johor meningkat, Perak, Kedah berkurang

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Situasi banjir di Johor semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat, manakala di Perak dan Kedah mencatatkan penurunan setakat petang ini.

Di Johor, jumlah mangsa banjir kilat di Pontian meningkat kepada 159 orang daripada 46 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 107 mangsa daripada 33 keluarga pada 11 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya yang dibuka bermula 6 pagi tadi.

Beliau berkata kawasan yang terjejas kekal Kampung Melayu Raya, Kampung Paya Embun, Kampung Pak Kalib, Kampung Seri Menanti dan Kampung Maju Jaya.

Di Perak, jumlah mangsa di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) berkurang kepada 170 orang daripada 52 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 210 orang daripada 68 keluarga direkodkan pada 8 pagi tadi.

Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa masih berlindung di empat PPS yang sama di Taiping.

Sekretariat itu memaklumkan seramai sembilan mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya yang dipindahkan dari kawasan terjejas di Taman Pengkalan Makmur, Taman Pengkalan Setia dan Kampung Sentosa.

"PPS SK Simpang yang melibatkan kawasan Taman Mawar, Taman Simpang Makmur, Taman Indah, Kampung Jelapang Jaya dan Taman Kota Jaya menempatkan 89 mangsa daripada 27 keluarga," menurut kenyataan itu.

Seramai 25 mangsa daripada enam keluarga pula ditempatkan di PPS SK Matang melibatkan Kampung Matang Jambu serta Kampung Telok Kertang, manakala PPS SK Matang Gelugor masih menempatkan 47 mangsa daripada 14 keluarga dari Kampung Matang Pasir dan Kampung Matang Gelugor.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan pada sebelah malam di daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta, manakala daerah lain kesemuanya diramalkan cuaca baik.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di satu PPS di Pokok Sena berkurang kepada 91 orang daripada 26 keluarga petang ini berbanding 200 mangsa daripada 50 keluarga pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Pokok Sena itu adalah dari Mukim Gajah Mati, yang melibatkan Taman Puteri dan Kampung Sungai Durian.

Beliau berkata tiada sungai berada pada paras bahaya di negeri ini dan hanya lima sungai berada pada paras waspada.

“Sungai tersebut adalah Sungai Muda di Ampang Jajar, Kuala Muda; Sungai Ketil di Kampung Bongor, Baling; Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu; Sungai Naka di Naka, Padang Terap dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, beberapa kawasan di sekitar Kedah dinaiki air berikutan hujan lebat sejak 2 petang dan setakat ini hanya satu PPS dibuka.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619