AI jadikan kebijaksanaan hakim lebih penting, kata ketua hakim negara

4 Okt 2025, 1:58 AM
AI jadikan kebijaksanaan hakim lebih penting, kata ketua hakim negara

PETALING JAYA, 4 Okt: Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) merupakan antara res nova atau cabaran baharu paling mendesak bagi badan kehakiman, khususnya dalam memastikan kebertanggungjawaban, keadilan dan integriti dalam proses membuat keputusan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Beliau berkata kebangkitan AI telah mewujudkan isu perundangan yang tidak pernah dibayangkan oleh generasi perundangan terdahulu, daripada pembuatan keputusan secara automatik hinggalah penggunaannya dalam amalan guaman, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab malah status perundangan.

“Ada yang bimbang AI akan menggantikan pertimbangan kehakiman. Saya percaya sebaliknya, AI akan menjadikan kebijaksanaan kehakiman manusia lebih penting, bukannya sebaliknya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Undang-Undang Majlis Peguam Selangor 2025 bertemakan ‘Res Nova’ di sini semalam.

Turut hadir Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi.

Istilah ‘res nova’ berasal daripada bahasa Latin yang membawa maksud ‘sesuatu yang baharu’. Dalam konteks undang-undang, ia merujuk kepada isu atau kes perundangan yang belum pernah diputuskan oleh mahkamah.

Wan Ahmad Farid berkata AI mampu menganalisis data undang-undang dalam jumlah yang besar, mengenal pasti corak serta menyorot duluan kes dengan pantas, namun ia tidak mempunyai keupayaan menilai faktor manusia yang menjadi inti pati kepada keadilan.

“AI tidak dapat menentukan kredibiliti saksi, pertimbangan saksama yang dituntut oleh keadilan ataupun nilai-nilai perlembagaan yang mesti menjadi panduan dalam tafsiran undang-undang,” katanya.

Beliau menambah bahawa walaupun mahkamah kini telah memanfaatkan AI dalam pengurusan kes, penyelidikan undang-undang dan kecekapan pentadbiran, penerapan prinsip undang-undang kepada keadaan manusia tetap merupakan tugas yang tidak dapat diganti oleh mesin.

“Persoalannya bukan sama ada AI akan mengubah cara kita mengamalkan undang-undang; kerana ia sudah pun berlaku. Persoalannya ialah bagaimana kita memastikan teknologi ini berperanan membantu menegakkan keadilan, bukan menggantikannya.

“Tema ‘Res Nova’ mengingatkan kita bahawa undang-undang bukan monumen statik kepada kebijaksanaan silam, sebaliknya satu sistem hidup yang mesti berkembang memenuhi keperluan setiap generasi tanpa mengabaikan kesinambungan prinsip keadilan yang abadi,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619