BUDI95 lonjak kutipan saman JPJ, RM1.3 juta dalam sehari

1 Okt 2025, 9:05 AM
BUDI95 lonjak kutipan saman JPJ, RM1.3 juta dalam sehari

SHAH ALAM, 1 OKT: Inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) bukan sahaja membantu rakyat menikmati subsidi petrol, malah memberi kesan langsung kepada pesalah trafik yang sebelum ini enggan menjelaskan saman.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, semalam sahaja sebanyak 8,300 notis saman berjaya diselesaikan dengan kutipan mencecah RM1.3 juta, lapor Kosmo!.

“Jumlah itu termasuk saman kesalahan memandu laju yang dikesan melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas). Secara keseluruhan, JPJ merekodkan kutipan saman RM132 juta dalam tempoh lapan bulan sehingga semalam,” katanya.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan BUDI95 bukan sahaja memudahkan penyasaran subsidi, malah secara tidak langsung menggalakkan pesalah trafik melunaskan tunggakan saman mereka.

Tindakan itu, ujarnya, menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya semakin meningkat.

Inisiatif BUDI95 yang menawarkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter mula diperkenalkan pada 27 September lalu membabitkan kira-kira 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seramai lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut menikmati manfaat sama sebelum ia diperluaskan kepada 16 juta rakyat Malaysia yang layak bermula semalam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619