Bekas ratu renang dilantik Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025

1 Okt 2025, 7:00 AM
Bekas ratu renang dilantik Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Bekas ratu renang negara Nurul Huda Abdullah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini.

Dengan hanya tinggal kira-kira dua bulan sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirai, Nurul Huda percaya pengalaman sebagai Timbalan CDM pada Sukan SEA Filipina 2019 membantunya membuat persediaan untuk melaksanakan tugas di negara jiran yang mendapat gelaran Land of Smiles.

“Pengalaman tersebut di bawah pimpinan ketua kontinjen semasa itu Datuk Megat Zulkarnain Omardin banyak mengajar saya bagaimana hendak mengurus dan memimpin pasukan yang besar.

“Sukan SEA 2025 agak mencabar dari segi logistik, namun saya yakin pengalaman sebagai timbalan CDM, dengan lebih banyak acara sukan dipertandingkan kali ini termasuk acara di Olimpik, saya percaya kontinjen kita akan beraksi lebih baik,” katanya kepada pemberita pada lawatan rasminya ke skuad pingpong negara di sini hari ini.

Untuk Sukan SEA 2025, Nurul Huda dibantu tiga timbalan termasuk dua bekas atlet iaitu pelari pecut Nazmizan Muhammad dan hoki Jivan Mohan serta Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh.

Nurul Huda mewakili Malaysia di Sukan Olimpik 1988 di Seoul, Korea Selatan dan masih memegang rekod sebagai atlet Malaysia dengan kutipan pingat terbanyak dalam sejarah Sukan SEA dengan 32 pingat, terdiri daripada 22 emas, lapan perak dan dua gangsa pada tiga edisi berturut-turut iaitu 1985, 1987 dan 1989.

Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyifatkan pemilihan sebagai CDM Sukan SEA 2025 sebagai penghormatan tidak dijangka.

“Ini tanggungjawab besar yang diamanahkan kepada saya dan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kerana mencalonkan saya sebagai CDM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah akhir kontinjen negara untuk ke Sukan SEA itu akan diketahui bulan depan.

Selain itu, Nurul Huda yang merupakan Penolong Setiausaha Kehormat Akuatik Malaysia gembira dengan prestasi skuad renang pada Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India yang meraih lapan pingat iaitu lima perak dan tiga gangsa menerusi acara renang dan terjun setakat ini.

“Ini (Kejohanan Akuatik Asia) merupakan persiapan yang baik untuk kita menilai kedudukan dan mengukur kemampuan berbanding negara lain (Sukan SEA 2025),” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619