Pemohon pinjaman peribadi lebih RM100,000 wajib hadir modul pendidikan kewangan - BNM

1 Okt 2025, 12:07 AM
Pemohon pinjaman peribadi lebih RM100,000 wajib hadir modul pendidikan kewangan - BNM

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Pengguna yang memohon pinjaman peribadi melebihi RM100,000 perlu menghadiri dan melengkapkan modul pendidikan kewangan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Dalam dokumen dasar pembiayaan peribadi yang dikeluarkan di sini hari ini, bank pusat berkata syarat-syarat ini merupakan antara keperluan baharu yang ditetapkan oleh BNM.

Dokumen dasar itu bertujuan memperkenalkan amalan pembiayaan yang berhemah dan bertanggungjawab berhubung dengan penyediaan pembiayaan peribadi oleh penyedia perkhidmatan kewangan, di samping menggalakkan gelagat peminjaman yang bertanggungjawab dalam kalangan pengguna kewangan.

Ia juga untuk memastikan pelaporan yang jelas daripada penyedia perkhidmatan kewangan berhubung jangkaan sedia ada BNM mengenai penggunaan tempoh maksimum 10 tahun untuk pembiayaan yang ditawarkan di bawah produk pembiayaan rumah atau dijamin oleh harta tanpa halangan bagi kegunaan peribadi.

Ia juga melarang tawaran pembiayaan peribadi di mana caj faedah/keuntungan dikira menggunakan kaedah kadar rata dan/atau Peraturan 78 yang merujuk kepada kaedah pengiraan faedah/keuntungan.

Di samping itu, ia juga mengukuhkan jangkaan untuk penyedia perkhidmatan kewangan mendedahkan kadar faedah/keuntungan yang berkesan kepada pengguna kewangan.

Dengan persaingan yang sengit dalam pasaran kredit runcit, perubahan telah diperhatikan dalam amalan pemberian pinjaman oleh penyedia kredit dalam segmen pembiayaan peribadi, menurut gambaran keseluruhan dokumen dasar. Keadaan ini menyumbang kepada pinjaman yang tidak mampu ditanggung oleh isi rumah.

Apa yang menjadi kebimbangan utama adalah kemunculan produk pembiayaan baharu yang nampak seperti pinjaman mampu milik tetapi sebenarnya menggalakkan pengumpulan hutang yang tidak berhemah. Pengguna kewangan tidak mampu menanggungnya tanpa risiko kesulitan yang ketara sepanjang tempoh pembiayaan disebabkan kekurangan simpanan kewangan yang mencukupi.

Menurut dokumen itu, penyedia perkhidmatan kewangan dikehendaki menjalankan penilaian kesesuaian dan kemampuan membayar bagi setiap kemudahan pembiayaan baharu dan tambahan yang ditawarkan kepada pengguna kewangan, tetapi keperluan yang lebih khusus diperlukan untuk mencegah perkembangan tidak sihat dalam segmen pembiayaan peribadi.

Dokumen dasar ini terpakai kepada semua bank berlesen, bank Islam berlesen dan institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan, berkuat kuasa mulai hari ini.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619