Sindiket edar dadah dalam minuman herba terbongkar, dua lelaki ditahan

29 Sep 2025, 8:29 AM
Sindiket edar dadah dalam minuman herba terbongkar, dua lelaki ditahan

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat sindiket pengedaran dadah jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang dicampurkan dalam minuman herba, dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Yap Kwan Seng Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata dalam serbuan 10.20 malam itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM251,000.

“Antara yang dirampas ialah 503 botol cecair disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 239.5 kilogram, 298 gram serbuk MDMA, 20 gram dadah jenis Erimin 5 dan 19.6 gram ketamin.

“Dengan jumlah itu, ia boleh digunakan 3,631 penagih dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati dua suspek berumur 30 dan 32 tahun itu positif ketamin, selain seorang daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Suspek pertama (berusia 30 tahun) direman hingga 30 September manakala suspek kedua berusia 32 tahun direman hingga 2 Oktober bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut menyita dua kenderaan bernilai RM50,000 dan wang tunai RM140 dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan RM301,140,” katanya.

Sulizmie Affendy berkata sindiket itu dipercayai menyasarkan pasaran pusat hiburan sekitar Lembah Klang dan beroperasi sejak awal tahun ini dengan modus operandi menyewa rumah melalui aplikasi dalam talian sebagai lokasi pemprosesan dadah.

“Kedua-dua individu yang ditahan bertindak sebagai penghantar dan dibayar kira-kira RM100 bagi setiap penghantaran. Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dang Wangi masih giat memburu saki baki anggota sindiket,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619