Kes denggi Selangor turun 65.8 peratus, tiga daerah masih titik panas

28 Sep 2025, 7:30 AM
Kes denggi Selangor turun 65.8 peratus, tiga daerah masih titik panas

KAJANG, 28 SEPT: Sebanyak 34,017 kes denggi direkodkan di Selangor pada minggu epidemiologi (ME) ke 38 dari 14 September hingga 20 September iaitu penurunan sebanyak 65.8 peratus, berbanding tempoh sama tahun lepas sebanyak 51,675 kes.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata penurunan itu hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah Daerah (PTD) melaksanakan aktiviti membanteras wabak itu.

“Saya amat berbangga dengan kemampuan pentadbiran negeri dengan kerjasama baik agensi-agensi berkaitan menurunkan kes denggi sebanyak 65 peratus.

“JKNS bersama seluruh PBT dan PTD memainkan peranan penting dalam menggalakkan serta mengaktifkan komuniti setempat melakukan aktiviti seperti gotong-royong bagi membanteras pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Denggi Negeri Selangor Siri 2 di AEON Cheras Selatan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jamaliah memberitahu tiga daerah dikenal pasti sebagai ‘titik panas’ iaitu Petaling yang merekod kes tertinggi diikuti Hulu Langat dan Gombak.

Katanya, jumlah kes tinggi di ketiga-tiga daerah dipengaruhi faktor populasi yang padat dan pembangunan pesat serta tahap kesedaran masyarakat terhadap pencegahan.

“Namun, semua daerah ini masih mencatat penurunan kes tahun ini, dengan Petaling sebanyak 62 peratus, tahun ini 6,685 kes banding tahun lepas 17,304 kes manakala Hulu Langat pula menurun 79 peratus dari 14,725 kes kepada 3,094 kes.

“Bagi Gombak pula merekodkan 1,791 tahun ini banding 6,855 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas yang mencatat penurunan hingga 74 peratus,” katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619