Selangor meterai MoU bersama ChinaFix, lonjak teknologi TVET serantau

28 Sep 2025, 12:26 AM
Selangor meterai MoU bersama ChinaFix, lonjak teknologi TVET serantau
Selangor meterai MoU bersama ChinaFix, lonjak teknologi TVET serantau
Selangor meterai MoU bersama ChinaFix, lonjak teknologi TVET serantau
Selangor meterai MoU bersama ChinaFix, lonjak teknologi TVET serantau
Selangor meterai MoU bersama ChinaFix, lonjak teknologi TVET serantau

SHENZHEN, 28 SEPT: Selangor melakar satu lagi pencapaian penting dalam misi memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat penyelenggaraan digital global, ChinaFix.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan antara Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), APR Electronic Sdn. Bhd. dan ChinaFix (Shenzhen Xinxunwei Technology Co., Ltd.), sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik merangkumi pemindahan teknologi, pembaikan elektronik, latihan teknikal serta pembangunan modal insan.

Perjanjian ini turut menjadikan STDC sebagai pusat pemindahan teknologi dan fasiliti utama di Malaysia dengan matlamat memperkasa kedudukan Selangor sebagai hab TVET serantau, khususnya untuk pasaran Asia Tenggara seperti Thailand, Kemboja, Indonesia dan Myanmar.

Kerjasama ini dijangka melonjak potensi pelaburan serta memperluas akses kepada teknologi canggih dalam bidang pembaikan elektronik dan digital.

Majlis tersebut merupakan kemuncak lawatan kerja delegasi Selangor ke Ibu Pejabat ChinaFix di Shenzhen, iaitu syarikat peneraju dunia dalam penyelenggaraan peranti digital dan elektronik.

Delegasi turut meninjau fasiliti teknologi terkini milik syarikat itu, termasuk kemudahan pembaikan kenderaan elektrik (EV) dan Printed Circuit Board (PCB) yang digunakan secara meluas dalam industri moden.

Sejak ditubuhkan pada 2007, ChinaFix telah melatih lebih 50,000 pelajar di seluruh dunia melalui program latihan teknikal berskala besar yang memfokuskan kepada TVET dan pembangunan tenaga kerja mahir.

Malah, syarikat itu turut menghasilkan pelbagai manual teknikal dan buku rujukan yang diiktiraf secara global dalam bidang pembaikan elektronik dan latihan kemahiran.

Langkah strategik ini diyakini bakal mengukuhkan ekosistem TVET di Selangor, membuka ruang pembangunan bakat kejuruteraan tempatan dan mempercepat aspirasi negeri ke arah menjadi hab pelaburan teknologi unggul di rantau Asia.

Delegasi Selangor diketuai Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari dalam misi perdagangan dan pelaburan ke China yang dijadualkan berjalan sehingga 30 September.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619