AFC tunggu keputusan Tribunal FIFA berhubung hukuman ke atas FAM, pemain warisan

27 Sep 2025, 7:33 AM
AFC tunggu keputusan Tribunal FIFA berhubung hukuman ke atas FAM, pemain warisan

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan sedang menunggu keputusan akhir Tribunal Bola Sepak di bawah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman yang dikenakan ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan.

Perkembangan itu dikongsi Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor John dalam satu maklum balas ringkas hari ini.

“Kami sedang menunggu keputusan akhir daripada Tribunal Bola Sepak (FIFA),” katanya.

Dalam satu kenyataan semalam, FIFA memaklumkan jawatankuasa tatatertib badan induk itu menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Pemain yang dikenakan tindakan adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Menurut FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit, membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Selepas perlawanan itu, FIFA menerima aduan rasmi berkaitan status kelayakan beberapa pemain.

Susulan aduan rasmi berkenaan, FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notifikasi keputusan tersebut.

FAM dalam kenyataan mengesahkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA berhubung hukuman itu sebagai usaha menjaga kepentingan pemain dan pasukan kebangsaan.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi FIFA mengenai kes berkenaan, sambil menegaskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619