Fama catat nilai jualan pasar tani RM215 juta setakat Ogos

26 Sep 2025, 4:28 AM
Fama catat nilai jualan pasar tani RM215 juta setakat Ogos
Fama catat nilai jualan pasar tani RM215 juta setakat Ogos
Fama catat nilai jualan pasar tani RM215 juta setakat Ogos
Fama catat nilai jualan pasar tani RM215 juta setakat Ogos

PUTRAJAYA, 26 SEPT: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merekodkan nilai jualan pasar tani berjumlah RM215 juta sejak Januari hingga Ogos lepas, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata pembukaan pasar tani pula telah berkembang kepada 229 lokasi di seluruh negara dengan penyertaan sebanyak 5,618 usahawan.

"Sasaran nilai jualan tahunan sekitar RM330 juta, dengan pencapaian setakat ini telah mencapai 65 peratus daripada sasaran," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-40 Peringkat Kebangsaan dan perasmian Pasar Tani Presint 4, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis itu dan merasmikan pasar tani berkenaan.

Mohamad berkata pencapaian itu bukan sahaja hasil usaha usahawan, tetapi juga sokongan berterusan daripada FAMA melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dalam memperkukuh daya saing serta memperluas capaian pasar tani.

Beliau berkata pasar tani terus memainkan peranan penting dalam membantu rakyat mendapatkan bahan makanan pada harga berpatutan, di samping memberi pasaran lebih baik kepada petani.

"Daripada fasa pengenalan, pengukuhan, pemodenan hinggalah ke fasa transformasi dan inovasi hari ini, pasar tani telah membuktikan keupayaan sebagai platform penting pemasaran produk agromakanan tempatan," katanya.

Mohamad berkata usaha memodenkan pasar tani kini turut merangkumi platform digital dan kerjasama dengan Grab melalui aplikasi GrabMart yang membolehkan penghantaran produk segar terus kepada pengguna secara dalam talian.

Beliau berkata kerjasama itu bermula Julai 2023 dengan projek perintis di Pasar Tani Danau Kota dan Taman Melawati, Kuala Lumpur yang kini berkembang ke 28 pasar tani dan empat pasar tani kekal di Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan serta Putrajaya dengan jumlah usahawan keseluruhan berjumlah 282 orang.

"Dari segi pencapaian, nilai jualan yang direkodkan meningkat daripada RM90,000 pada 2023 kepada hampir RM700,000 pada 2024. Tahun ini kita menyasarkan nilai jualan hingga RM1.5 juta," katanya.

Mohamad berkata peranan FAMA melalui pasar tani hari ini terbukti sebagai nadi penting dalam membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup.

"Langkah ini bukan sahaja memastikan bekalan makanan asas sentiasa mencukupi, malah memberi peluang kepada rakyat untuk menikmati penjimatan hingga 30 peratus berbanding harga pasaran biasa," katanya.

Beliau turut menggalakkan masyarakat memanfaatkan ruang di kediaman masing-masing, termasuk halaman rumah untuk tanaman makanan asas atau ternakan kecil sebagai langkah menyokong keterjaminan makanan negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619