Pegawai merokok dalam kenderaan rasmi diberi surat tunjuk sebab

23 Sep 2025, 10:59 AM
Pegawai merokok dalam kenderaan rasmi diberi surat tunjuk sebab

SHAH ALAM, 23 SEPT: Pegawai yang dirakam sedang merokok dalam kenderaan rasmi Jabatan Kerajaan Selangor telah diberikan surat tunjuk sebab bagi memberi penjelasan bertulis berhubung tingkah laku tersebut.

Bahagian Korporat Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri menerusi kenyataan memaklumkan surat tunjuk sebab itu merupakan langkah awal yang dikeluarkan ketua jabatan pegawai terbabit.

Menurut kenyataan itu, pentadbiran Setiausaha Kerajaan Selangor mengambil serius berhubung penularan gambar di media sosial melibatkan individu dipercayai penjawat awam negeri.

"Setiausaha Kerajaan Negeri (Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin) menegaskan setiap penjawat awam wajib menjaga imej dan mematuhi peraturan termasuk etika penggunaan aset rasmi.

"Tindakan tidak berdisiplin bukan sahaja mencemarkan reputasi jabatan tetapi bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab awam dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya.

Berikutan itu, semua penjawat awam diingatkan menjaga tingkah laku semasa menjalankan tugas dengan penggunaan aset kerajaan, tidak melakukan perbuatan mencetus imej negatif dan sentiasa bertanggungjawab terhadap persepsi awam.

"Sebarang pelanggaran tatakelakuan akan ditangani mengikut saluran tatatertib sedia ada dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri komited memastikan profesionalisme dan integriti penjawat awam terpelihara dan baik," ujarnya.

Sebelum ini, tular di media sosial dua individu sedang merokok dalam kenderaan rasmi milik Kerajaan Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619