Indonesia sedia iktiraf Israel selepas Palestin capai kedaulatan

23 Sep 2025, 4:30 AM
Indonesia sedia iktiraf Israel selepas Palestin capai kedaulatan

JAKARTA, 23 SEPT: Presiden Indonesia Prabowo Subianto memuji negara seperti Perancis, Kanada, Australia, United Kingdom (UK) dan Portugal kerana mengiktiraf Palestin.

“Pengiktirafan terhadap Negara Palestin adalah langkah tepat di sisi sejarah. Kepada mereka yang belum bertindak, kami katakan sejarah tidak akan berhenti,” katanya dalam ucapan di Dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, menurut Sekretariat Presiden.

Beliau turut menegaskan bahawa menamatkan perang di Gaza harus menjadi keutamaan masyarakat antarabangsa, sambil menekankan kesediaan Indonesia untuk menyumbang, termasuk menghantar pasukan pengaman di bawah mandat PBB.

“Kita mesti mengatasi kebencian, ketakutan dan prasangka. Kita mesti mencapai keamanan yang didambakan umat manusia.

"Kami bersedia menyertai perjalanan ini dan kami sanggup menyediakan pasukan pengaman,” kata Prabowo.

Persidangan peringkat tinggi PBB itu yang dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi diadakan bagi menegaskan semula sokongan antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara dan menggerakkan sokongan untuk pelaksanaannya.

Menurut PBB, perwakilan dijangka menerima pakai dokumen hasil yang memetakan laluan ke arah penyelesaian aman bagi isu Palestin.

Prabowo menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza dan mengecam keganasan terhadap orang awam.

“Ribuan nyawa tidak berdosa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terkorban.

"Kebuluran semakin menghampiri. Bencana kemanusiaan sedang berlaku di depan mata kita.

“Kami mengecam semua bentuk keganasan terhadap orang awam yang tidak bersalah,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Perancis dan Arab Saudi atas kepimpinan mereka menganjurkan mesyuarat itu.

Prabowo sekali lagi menegaskan sokongan negaranya terhadap penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, menyifatkannya sebagai satu-satunya jalan menuju keamanan berkekalan.

“Kita mesti menjamin penubuhan negara Palestin, namun Indonesia juga menyatakan bahawa sebaik sahaja Israel mengiktiraf kemerdekaan dan kedaulatan Palestin, Indonesia akan segera mengiktiraf negara Israel serta menyokong semua jaminan keselamatan untuk Israel,” katanya.

Prabowo menekankan Deklarasi New York sebagai laluan adil ke arah keamanan, sambil menegaskan bahawa pengiktirafan kenegaraan mesti membawa keamanan sejati untuk semua pihak.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619