Perkhidmatan KTM Komuter alami kelewatan akibat pokok tumbang

23 Sep 2025, 2:05 AM
Perkhidmatan KTM Komuter alami kelewatan akibat pokok tumbang
Perkhidmatan KTM Komuter alami kelewatan akibat pokok tumbang
Perkhidmatan KTM Komuter alami kelewatan akibat pokok tumbang

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Perkhidmatan KTM Komuter mengalami kelewatan hari ini susulan insiden pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang yang melanda ibu kota petang semalam.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan kerja pembersihan pokok dan baik pulih alat talian di laluan Salak Selatan - Pelabuhan Klang (antara stesen Mid Valley dan Abdullah Hukum) dan Simpang Batu (antara Sentul dan Segambut) berjaya disiapkan 8 malam tadi, namun kelewatan berlaku disebabkan kesan rantaian insiden itu.

"Insiden pokok tumbang ini telah menyebabkan bekalan kuasa 25kV terbingkas pada 4.24 petang semalam sekali gus menjejaskan operasi tren di laluan terlibat.

"Namun demikian, tindakan pantas pasukan teknikal KTMB yang mengambil masa kurang 50 minit bagi setiap laluan membolehkan tren KTM Komuter dan ETS beroperasi semula seperti biasa, walaupun masih terdapat sedikit reaksi kelewatan akibat kesan rantaian insiden tersebut," menurut KTMB dalam kenyataan hari ini.

Bagi perkhidmatan KTM Komuter, kelewatan berlaku antara 32 hingga 69 minit di stesen Subang Jaya, Sungai Buloh, Kepong, Putra, Seri Setia, Pantai Dalam, Kajang, Bank Negara, Seputeh dan Salak Selatan.

Bagi perkhidmatan ETS, KTMB memaklumkan operasi kembali pulih dengan kelewatan terkawal.

"KTMB amat kesal atas segala kesulitan dialami penumpang berikutan insiden yang berlaku di luar jangka ini. Pihak kami sentiasa komited memastikan keselamatan, keselesaan serta kesinambungan perkhidmatan kepada semua pengguna," katanya.

Penumpang boleh mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619