Perancis secara rasmi iktiraf negara Palestin

23 Sep 2025, 1:24 AM
Perancis secara rasmi iktiraf negara Palestin

ISTANBUL, 23 SEPT: Presiden Perancis Emmanuel Macron semalam mengumumkan bahawa negaranya secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Saya mengisytiharkan bahawa hari ini (semalam), Perancis mengiktiraf negara Palestin,” kata Macron pada persidangan antarabangsa mengenai Palestin di New York menjelang permulaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) minggu ini.

“Sudah tiba masanya untuk menghentikan peperangan, pengeboman di Gaza, pembunuhan beramai-ramai dan pengusiran rakyat.

“Tiada apa yang boleh membenarkan perang yang berterusan di Gaza,” katanya.

Macron menekankan keadaan yang mendesak, sambil berkata “masa untuk keamanan telah tiba kerana kita hanya tinggal sedikit masa sebelum peluang mencapai keamanan terlepas begitu sahaja.”

Beliau turut berterima kasih kepada negara lain yang baru-baru ini mengumumkan pengiktirafan termasuk Andorra, Australia, Belgium, Kanada, Luxembourg, Malta, Monaco, Portugal, United Kingdom (UK) dan San Marino.

Pengiktirafan itu membuka jalan kepada rundingan yang berguna dan bermanfaat untuk rakyat Israel dan Palestin ke arah “pelan keamanan dan keselamatan untuk semua.”

Macron berkata Perancis akan dapat membuat keputusan untuk membuka kedutaan kepada negara Palestin sebaik sahaja semua tawanan yang ditahan di Gaza dibebaskan dan gencatan senjata diwujudkan, dan Paris bersedia menyumbang kepada misi penstabilan antarabangsa di wilayah itu.

Persidangan berkenaan, yang dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi, merupakan rentetan kepada pertemuan seumpama itu pada Julai lalu.

Amerika Syarikat (AS) dan Israel tidak menghadiri mesyuarat itu.

Sejak 7 Oktober 2023, operasi ketenteraan Israel di Gaza meragut nyawa lebih 65,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619