Bantuan akan disalurkan kepada penduduk PPR Seri Cempaka terjejas akibat ribut

22 Sep 2025, 2:10 PM
Bantuan akan disalurkan kepada penduduk PPR Seri Cempaka terjejas akibat ribut
Bantuan akan disalurkan kepada penduduk PPR Seri Cempaka terjejas akibat ribut
Bantuan akan disalurkan kepada penduduk PPR Seri Cempaka terjejas akibat ribut

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Ribut yang melanda ibu negara petang ini menyebabkan bumbung sebuah blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Lembah Pantai di sini rosak teruk hingga menjejaskan beberapa unit rumah serta 30 kenderaan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata tinjauan awal pihaknya mendapati sekurang-kurangnya empat unit rumah mengalami kerosakan serius apabila bumbung diterbangkan angin, manakala sejumlah unit lain berlaku kebocoran akibat struktur terjejas.

“Penduduk di empat unit rumah berkenaan akan dipindahkan serta-merta ke unit kosong dalam blok sama dengan bantuan pertubuhan belia.

“DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sedang mengenal pasti beberapa unit yang kosong untuk menempatkan mereka. Sumbangan awal RM5,000 setiap keluarga akan disalurkan, termasuk keperluan asas seperti toto, bantal dan selimut selain memastikan semua keperluan sekolah yang rosak diganti segera,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan berkenaan hari ini.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata setakat laporan terakhir, 30 kenderaan dilaporkan rosak akibat dihempap serpihan bumbung, namun jumlah sebenar masih dalam semakan pihak berkuasa.

Bagi memastikan keselamatan penghuni di kawasan terlibat, beliau berkata DBKL telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera.

Ini termasuk menilai semula keselamatan struktur Blok E dan Blok F bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) susulan aduan penduduk mengenai masalah kebocoran serta serpihan kaca yang berterbangan semasa ribut.

Fahmi berkata kawasan berhampiran Blok E yang berisiko juga akan dipasang pita keselamatan dan dikosongkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, terutama melibatkan kanak-kanak.

“Saya difahamkan seorang individu cedera akibat terkena kaca berterbangan di Blok F, namun laporan penuh masih belum diperoleh. Walaupun tiada bumbung rosak di blok itu, aspek keselamatan tetap perlu diberi perhatian,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan semua penduduk yang terlibat membuat laporan polis mengenai kerosakan rumah dan kenderaan bagi memudahkan urusan sumbangan serta tuntutan pampasan.

Fahmi berkata beliau dimaklumkan oleh penduduk bahawa insiden seumpama itu pernah berlaku 15 tahun lepas, dan pihaknya akan memastikan aspek reka bentuk serta binaan diteliti semula untuk mengelakkan kejadian berulang.

Selain di PPR Seri Cempaka, beliau berkata ribut petang ini juga menyebabkan beberapa kejadian bencana di sekitar kawasan berhampiran, termasuk kebakaran kecil di Dewan Gasing Indah yang telah dipadamkan bomba serta pokok tumbang di Jalan Pantai Murni dan Taman Lucky Garden.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619