Selangor pastikan pembangunan seiring pemeliharaan alam sekitar, budaya

20 Sep 2025, 5:25 AM
Selangor pastikan pembangunan seiring pemeliharaan alam sekitar, budaya

SEPANG, 20 SEPT: Kerajaan Selangor komited memastikan pembangunan negeri berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar, budaya dan warisan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Pantai Bagan Lalang @ Sepang 2025 di sini hari ini, yang dianjurkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sempena kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

Amirudin berkata penganjuran pesta dua hari itu menjadi bukti kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, swasta dan masyarakat pelbagai kaum, sekali gus mengukuhkan perpaduan selain memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil dan pengusaha inap desa.

“Pesta Pantai Bagan Lalang @ Sepang ini meriah dengan pelbagai aktiviti sukan, acara pantai dan persembahan seni, sekali gus menjadikan daerah Sepang destinasi pelancongan unik di Selangor,” katanya.

Beliau berkata Selangor menerima lebih 4.1 juta pelancong setakat Jun 2025 dengan 624,794 daripadanya ke daerah Sepang, membuktikan potensi besar kawasan itu dalam menarik pelancong tempatan dan antarabangsa.

Amirudin berkata kerajaan negeri menyediakan pelbagai insentif untuk memperkasakan pengusaha sektor pelancongan, dengan tujuan meningkatkan daya saing, kualiti produk dan perkhidmatan, sekali gus merancakkan kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

Beliau berkata perairan pantai sepanjang 291 kilometer di negeri itu merupakan aset berharga dari segi ekosistem marin dan ekonomi yang mesti dijaga daripada pencemaran akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak.

“Keindahan pantai yang kita nikmati hari ini perlu dikekalkan. Tanggungjawab memelihara dan memulihara bukan hanya di bahu kerajaan, tetapi amanah kita semua agar generasi akan datang turut menikmatinya,” katanya.

Amirudin turut menghargai usaha MPSepang yang konsisten memastikan Pantai Bagan Lalang sentiasa bersih dan selesa dikunjungi, selain menegaskan sokongan kerajaan negeri terhadap program yang memberi impak positif kepada industri pelancongan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619