Pensyarah wanita rugi lebih RM240,000 ditipu sindiket pelaburan

16 Sep 2025, 3:20 AM
Pensyarah wanita rugi lebih RM240,000 ditipu sindiket pelaburan

KUALA TERENGGANU, 16 SEPT: Seorang pensyarah wanita sebuah universiti di Kuala Nerus kerugian sebanyak RM244,925.61 selepas ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 14 Ogos lepas mangsa yang berusia 56 tahun menerima pesanan WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang mengandungi iklan pelaburan berserta pautan untuk menyertai skim ditawarkan.

Beliau berkata mangsa yang tertekan pautan itu secara tidak sengaja telah diberi tiga pilihan pelaburan bermula daripada skim serendah RM300.

"Mangsa telah membuat pelaburan sebanyak RM300 dan dijanjikan keuntungan sebanyak RM14,000 oleh suspek.

"Bagaimanapun, untuk mengeluarkan keuntungan itu, mangsa perlu membuat sejumlah bayaran dengan membuat pindahan wang ke beberapa akaun yang diberikan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa membuat bayaran ke 18 akaun bank berbeza menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Kerja (KWSP) miliknya bermula dari 20 Ogos hingga 10 Sept lepas.

"Mangsa yang gagal mendapatkan wang keuntungan membuat laporan polis pada 10.56 malam tadi. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

TAG: pensyarah, universiti, tipu, WhatsApp, kerugian

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619