Pemaju tanggung sewa kediaman sementara penduduk Kampung Sungai Baru

12 Sep 2025, 1:22 PM
Pemaju tanggung sewa kediaman sementara penduduk Kampung Sungai Baru

PUTRAJAYA, 12 SEPT: Bayaran sewa bagi kediaman sementara penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur ditanggung sepenuhnya oleh pemaju sehingga projek perumahan baharu di kawasan berkenaan siap dibina.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata penduduk yang setuju berpindah kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah sewaan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen pemaju bagi menjaga kebajikan penduduk terbabit.

“Saya difahamkan mereka yang telah bersetuju untuk berpindah, kos sewanya ditanggung pemaju sehingga mereka kembali ke kediaman baharu nanti,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Menurut Zaliha, isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru merupakan antara legasi tertunggak sejak lebih sembilan tahun lepas, yang kini diberi perhatian serius oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, proses pengambilalihan tanah itu bermula sejak 2021 menerusi notis di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 iaitu sebelum pentadbiran kerajaan MADANI, dan kini kerajaan berusaha menyelesaikan isu tersebut dengan kaedah yang lebih menyeluruh serta adil kepada penduduk.

“Kalau kita duduk di tempat mereka yang menunggu hampir sembilan tahun, tentu kita akan rasa terkesan. Sebab itu kita ambil tanggungjawab ini secara serius,” katanya sambil menambah kerajaan komited memastikan penyelesaian dilakukan mengikut lunas undang-undang.

Zaliha turut menjelaskan bahawa lebih 70 peratus penduduk telah bersetuju dengan pelan pembangunan semula manakala bakinya sekitar 28 peratus masih menolak terutamanya kerana tidak berpuas hati terhadap isu pampasan.

“Penduduk sendiri nyatakan mereka tidak menolak pembangunan, cuma ada yang pertikai pampasan. Bagi mereka yang masih tidak setuju, proses mahkamah sentiasa terbuka untuk dirujuk,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa dakwaan kononnya pembangunan itu akan mengeluarkan masyarakat Melayu dari kawasan bandar adalah tidak benar, sebaliknya projek berkenaan akan mengembalikan semula penduduk ke kawasan asal yang dilengkapi kediaman lebih selesa.

“Tidak timbul soal gentrifikasi kerana mereka akan kembali ke kawasan asal selepas rumah siap. Malah, reka bentuk kediaman baharu diminta supaya mengekalkan identiti Melayu dengan elemen seni bina tempatan,” katanya sambil menambah pandangan penduduk turut diambil kira termasuk penyediaan lif yang boleh memuatkan keranda bagi memudahkan urusan apabila berlaku kematian.

-- BERNAMA

TAG: Zaliha Mustafa, Kampung Sungai Baru, sewa, pemaju, reka bentuk

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619