Serangan Israel ancam mana-mana negara usahakan keamanan - PM Qatar

12 Sep 2025, 9:11 AM
Serangan Israel ancam mana-mana negara usahakan keamanan - PM Qatar

WASHINGTON, 12 SEPT: Serangan Israel bukan sahaja menyasarkan Qatar tetapi mana-mana negara yang berusaha mencapai keamanan, kata Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai situasi di Timur Tengah, Khamis.

“Serangan berterusan ini bukan hanya menyasarkan Qatar. Ia adalah ancaman jelas terhadap mana-mana negara yang berusaha ke arah perdamaian dan ia turut melemahkan kepercayaan terhadap PBB,” katanya.

Beliau menyifatkan serangan udara Israel ke atas Doha awal minggu ini dengan menyasarkan anggota Hamas ketika membincangkan cadangan gencatan senjata baharu yang dikemukakan Amerika Syarikat sebagai pelanggaran kedaulatan sebuah negara anggota PBB.

“Serangan ini jauh daripada kelakuan bertamadun sebuah negara yang percaya kepada keamanan.

“Israel sedang cuba menyusun semula rantau ini dengan kekerasan, berlandaskan fahaman ekstrem yang menjadi asas tingkah laku mereka,” katanya, sambil menegaskan tindakan itu bertujuan menggagalkan rundingan.

Perdana Menteri Qatar menegaskan Doha tetap percaya kepada peranan pengantaraan dan penyelesaian pertikaian secara aman, serta akan meneruskan usaha diplomatik dan tidak akan berkompromi terhadap keselamatan negaranya.

Beliau menuduh kepimpinan Israel sekarang sebagai “pelampau yang dahagakan darah”, bertindak seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang sambil “melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza” dan menggugat kestabilan serantau.

“Bagaimana mungkin kita menerima kehadiran wakil Israel selepas mereka melakukan serangan ini? Pernahkah anda mendengar sebuah negara menyerang pengantara dengan cara sebegini?” soal beliau.

Sheikh Mohammed mengulangi komitmen Qatar terhadap usaha pengantaraan, dengan menegaskan keamanan memerlukan gencatan senjata, pembebasan tawanan, akses bantuan kemanusiaan, serta penyelesaian dua negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619