Fadhlina: Buli di sekolah mesti dilapor, jangan sembunyi

11 Sep 2025, 11:07 AM
Fadhlina: Buli di sekolah mesti dilapor, jangan sembunyi

PUTRAJAYA, 11 SEPT: Setiap kejadian buli di sekolah mesti dilaporkan tanpa kompromi dan tidak boleh disembunyikan, selain perlu disiasat secara telus mengikut garis panduan sedia ada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM), kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Beliau berkata semua sekolah mempunyai tanggungjawab besar dalam menangani buli kerana ia bukan setakat sebagai satu segmen undang-undang atau peraturan tetapi merupakan tanggungjawab moral.

“Kita tak kompromi soal yang ada kemungkinan-kemungkinan untuk disembunyikan (sweep under the carpet) dan saya sudah memberikan penegasan berulang kali bahawa isu buli ini mesti dilaporkan mengikut peraturan kita sebelum kita pergi sampai ke peringkat tribunal.

“Mesti ada tanggungjawab oleh pentadbir dan guru untuk melaporkan dan juga mengambil tanggungjawab penuh apabila kejadian buli berlaku di dalam sekolah,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall Tribunal Antibuli, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fadhlina berkata berdasarkan garis panduan di bawah bidang kuasa KPM, sepatutnya tidak ada langsung ketakutan untuk melaporkan isu buli yang berlaku di sekolah.

“Ini tanggungjawab yang mesti dibereskan oleh semua pengetua, guru besar dan para pentadbir sekolah dan kita sudah bagi jaminan bahawa semua kes buli ini mesti disiasat dengan telus, kita juga bagi jaminan bahawa anak-anak kita mesti ada akses untuk melaporkan.

“Sebab itu kita sudah melakukan reformasi kepada portal aduan kita sendiri bahawa mereka (pelapor) boleh tidak memberikan nama sebenar mereka sekiranya mereka risau dan sebagainya tetapi kita akan tetap siasat berdasarkan reformasi portal aduan yang telah pun kita laksanakan," katanya.

Beliau berkata pihaknya memberi jaminan akan mengambil tanggungjawab penuh untuk memastikan isu-isu berkaitan buli dapat ditangani dalam semua aspek.

Fadhlina dalam pada itu berkata agenda pendidikan karakter akan menjadi satu daripada tujahan utama dalam kurikulum persekolahan 2027.

“Pendidikan karakter ialah satu sesi atau kurikulum khas yang akan menumpukan pada keperibadian sahsiah dan pembangunan murid secara keseluruhan...yang memberikan penekanan kepada nilai moral, adab dan akhlak kepada anak-anak kita," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619