Imigresen serbu flat di Danau Kota, tahan 125 pendatang asing

11 Sep 2025, 4:14 AM
Imigresen serbu flat di Danau Kota, tahan 125 pendatang asing
Imigresen serbu flat di Danau Kota, tahan 125 pendatang asing
Imigresen serbu flat di Danau Kota, tahan 125 pendatang asing
Imigresen serbu flat di Danau Kota, tahan 125 pendatang asing

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 125 pendatang tanpa izin dalam serbuan di sebuah flat 19 tingkat di Danau Kota, Setapak, awal pagi tadi.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 81 lelaki dan 44 wanita berusia antara 16 hingga 70 tahun melibatkan warga Myanmar (69), India (25), Pakistan (14), Indonesia (12) dan Bangladesh (5).

“Operasi ini dijalankan susulan aduan masyarakat mengenai kebanjiran warga asing dipercayai pendatang tanpa izin yang mendominasi kawasan penempatan berkenaan. Risikan selama dua minggu mengenal pasti satu blok dengan 380 unit kediaman, dan pemeriksaan bersasar dilakukan ke atas 64 unit melibatkan 400 individu,” katanya kepada pemberita selepas selesai menjalankan operasi, di sini.

Wan Mohamed Saupee berkata mereka yang ditahan disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau tinggal lebih masa, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata penduduk kawasan tersebut mengadu berasa tidak selesa dengan sikap segelintir warga asing yang dipercayai menagih dadah, mabuk, serta berkumpul beramai-ramai di kawasan kediaman.

Wan Mohamed Saupee turut menegaskan bahawa pemilik kediaman yang menyewakan rumah kepada warga asing perlu bertanggungjawab memastikan kehidupan penduduk tempatan tidak terganggu.

“Pemeriksaan mendapati kebanyakan pendatang tanpa izin menyewa rumah pada kadar RM700 hingga RM1,200 sebulan, manakala sewa bilik antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada keadaan kediaman.

“Pemilik rumah mesti memastikan warga asing mempunyai dokumen sah dengan hadir ke pejabat Imigresen untuk semakan, kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang tanpa izin,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru pendatang tanpa izin supaya mengambil peluang menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 yang kini dibuka sehingga 30 April 2026 bagi pulang ke negara asal secara sukarela.

– BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619