GOMBAK, 10 SEPT: Selangor FC menjalin kerjasama strategik bersama Al-Kauthar Eduqids Sdn Bhd bagi musim kedua untuk memperkasa kanak-kanak melalui sukan bola sepak dan pendidikan.
Majlis pemeteraian itu berlangsung di AKE Resort & Training Camp, di sini yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Kauthar Eduqids Sdn Bhd Dato’ Bakthiar Aliff.
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat sebagai saksi dalam majlis tersebut.
Pada majlis sama, baginda yang juga Pengerusi Selangor FC turut menandatangani plaque sebagai simbolik perasmian Kem Latihan AKE Resort, Gombak yang akan menjadi pusat latihan, pembangunan bakat dan kemudahan membantu perkembangan holistik kanak-kanak.

Al-Kauthar Eduqids dalam kenyataan berkata kerjasama pihaknya bersama Gergasi Merah Kuning diteruskan susulan kejayaan melalui program Little Giants pada musim lepas yang memperkenal sukan bola sepak kepada kanak-kanak seawal lima tahun dengan memupuk semangat kesukanan, disiplin dan gembira dengan setiap aktiviti dijalankan.
“Kerjasama merupakan komitmen kedua-dua pihak memupuk anak-anak muda yang mampu mencapai cita-cita mereka, sekali gus meninggalkan legasi yang bermakna untuk generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya lagi, program Little Giants mampu melahirkan bakal pemimpin negara melalui pendedahan awal dan memupuk nilai positif melalui persekitaran bola sepak.
“Kedua-dua pihak juga berhasrat mendekati komuniti cilik, memperluas program belia serta mewujudkan peluang yang menghubungkan sukan, pendidikan dan pembangunan diri,” ujarnya.