ad

Menteri ingatkan mana-mana pihak tidak politikkan pendidikan tinggi

10 Sep 2025, 12:39 PM
Menteri ingatkan mana-mana pihak tidak politikkan pendidikan tinggi

PUTRAJAYA, 10 SEPT: Pendidikan tinggi tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak, tegas Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata sekiranya timbul sebarang masalah dalam proses permohonan ke universiti, pelajar masih mempunyai saluran lain termasuk proses rayuan yang disediakan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya sering kali sebutkan bahawa ini adalah soal anak-anak yang akan melanjutkan pelajaran dan saya tidak mahu menjadikan ia sebagai satu isu permainan politik oleh mana-mana pihak.

“Saya telah menyebutkan berkali-kali bahawa bila ada masalah-masalah, bila kita ada proses rayuan kita, yang mana yang boleh kita guna dalam tempoh sepuluh hari yang diberikan untuk membuat rayuan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia MADANI di sini, hari ini.

Selain itu, Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terbuka untuk mengambil perhatian sekiranya berlaku kekurangan dalam proses permohonan ke universiti pada masa ini.

“Sistem ini telah dilaksanakan selama ini dan kita sering kali membaiki dari semasa ke semasa. Jadi saya faham dari segi keperluan pelajar-pelajar kita yang ingin belajar untuk dapat tempat-tempat yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan seorang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mendakwa beliau tidak mendapat tempat dalam program perakaunan di Universiti Malaya (UM) walaupun memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dan markah kokurikulum 9.90, menjadikan merit keseluruhan sebanyak 99.90 peratus.

Dalam pada itu, Zambry berkata kerajaan akan sentiasa membantu dan memastikan semua penuntut di luar negara berada dalam keadaan yang baik.

“Mereka (mahasiswa-mahasiswa) adalah bintang kecil negara apabila mereka berada di luar nanti sebab anak-anak Malaysia sentiasa disantuni dan mereka melihat dari segi peribadi mereka yang baik dan sebagainya.

“Kerajaan sentiasa membantu memastikan supaya keadaan mereka, keberadaan mereka di sana berada dalam keadaan baik sebab kita ada wakil-wakil ataupun Education Malaysia (unit di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi KPT) seperti di Mesir, Jordan dan juga di United Kingdom,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.