AMPANG JAYA, 10 SEPT: Nasib empat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tasek Tambahan mendapat perhatian Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan masing-masing menerima RM3,000.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan ihsan itu menggunakan dana RM1 juta yang diperuntuk kepada mangsa bencana termasuk kebakaran, banjir dan ribut.
“Hari ini kita serahkan sumbangan ihsan kepada empat keluarga yang rumah mereka terbakar Julai lalu. RM12,000 diperuntuk dengan setiap mangsa menerima RM3,000.

“Setiap tahun peruntukan RM1 juta disediakan untuk sumbangan bencana. Setakat ini RM650,000 telah digunakan untuk pelbagai bencana dan berdasarkan rekod tahun ini kerap berlaku kebakaran,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada empat keluarga yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad.
Terdahulu, Ahmad Azri turut menyampaikan bantuan kerusi roda kepada lapan pesakit strok dan diabetes yang merupakan penduduk Dewan Undangan Negeri Teratai dengan jumlah peruntukan RM4,000.
Sementara itu, Syed Ahmad atau lebih dikenali Altimet memaklumkan pihaknya akan mengemaskini perkembangan bantuan mangsa kebakaran tersebut daripada pejabat daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Setakat ini, kita telah hantar permohonan bantuan kepada kedua-dua pihak ini beberapa minggu selepas kejadian dan masih menunggu maklum balas.
“Kita hantar butiran permohonan yang relevan kepada kedua-dua agensi ini dan berharap dapat dipercepatkan untuk penduduk baik pulih kediaman masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Barinah Abu Bakar, 55, berkata bantuan itu membantunya untuk baik pulih kediaman yang rosak.
“Masa kejadian saya tiada di rumah dan sejurus dimaklumkan terus bergegas balik. Setibanya bomba sedang memadamkan api dan saya dapati struktur bahagian atas rumah termasuk bumbung rosak dan roboh.
“Sekarang kita sedang tunggu jika ada bantuan kontraktor untuk baiki tetapi jika tidak terpaksa baiki sendiri. Perlu baiki segera kerana sampai bila kita hendak menumpang rumah orang,” katanya.
Bagi Safuan Abdul Salim, 41, berharap pihak berkaitan dapat melantik kontraktor khas untuk baik pulih kediaman mereka dalam masa terdekat.
“Buat masa ini, saya dan isteri menumpang di rumah bapa mentua tetapi sampai bila kerana kediaman perlu dibaiki atau berdepan dengan kerosakan lagi teruk kerana dimasuki air akibat tiada bumbung.
“Kerja baik pulih perlu dibuat sama ada beri dana atau sebaiknya lantik kontraktor. Perlu ada perbincangan dan baik pulih yang asas dahulu terutama bumbung,” katanya.
