ad

Patung simulasi kaki patah dibawa ke inkues Zara Qairina

10 Sep 2025, 4:21 AM
Patung simulasi kaki patah dibawa ke inkues Zara Qairina

KOTA KINABALU, 10 SEPT: Patung yang digunakan bagi membuat simulasi untuk menggambarkan keadaan Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dikatakan jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah di Papar, dibawa pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Patung berkenaan yang dibungkus dalam dua bungkusan warna coklat, dibuka Inspektor Siasatan Tempat Kejadian Maidon Bernadus dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di hadapan Koroner Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan pada hari kelima prosiding inkues berhubung kematian remaja itu.

Saksi kelima itu, menunjukkan keadaan patung yang rosak, iaitu di kedua-dua kaki kiri dan kanan patah serta kepala patung tercabut akibat dijatuhkan dari tingkat tiga asrama berkenaan pada 3 Ogos lepas.

Semalam, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau bersama pasukannya menjalankan dua simulasi menggunakan patung berkenaan, iaitu pertama dijatuhkan secara tegak lurus dari koridor tanpa tolakan, manakala kedua dengan tolakan minimum ke hadapan.

Beliau berkata secara keseluruhan, hasil daripada simulasi mendapati, simulasi pertama, iaitu jatuhan patung ke bawah tanpa daya tolakan atau dorongan adalah hampir dengan kedudukan mangsa hasil siasatan awal, yang dilaksanakan oleh pegawai penyiasat melalui taklimat ringkas diberikan pada awalnya.

Ketika disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakili keluarga Zara Qairina, Maidon menjelaskan simulasi itu dibuat di tingkat tiga susulan taklimat yang diterimanya daripada pegawai penyiasat kes Inspektor Wong Yew Zhung.

“Melalui siasatan awal Inspektor Wong, menurut saksi kedudukan terakhir Zara Qairina dipercayai berada dalam tandas (di tingkat tiga) yang berhadapan dengan koridor,” katanya.

Saksi itu berkata bahagian pinggang sehingga ke bawah patung dibalut dengan batu-bata menggunakan pita pelekat yang mempunyai lambang forensik, dan batu-bata difikirkan sesuai bagi menyerupai berat fizikal si mati, iaitu 53 kilogram.

Dalam pernyataan saksi, Maidon berkata berat asal patung itu ialah 10 kilogram, namun ditambah pemberat menggunakan batu-bata untuk menyerupai berat fizikal remaja berkenaan.

Berhubung soalan peguam mengapa patung 180 sentimeter digunakan sedangkan ketinggian Zara Qairina 153 sentimeter, saksi itu berkata ini kerana beliau tidak dapat mencari patung yang sama tinggi dengan mangsa.

Shahlan: Ketinggian patung lebih kurang 180 sentimeter, iaitu melebihi 27 sentimeter daripada ketinggian fizikal si mati (153 sentimeter). Bagaimana perbezaan ketinggian ini boleh memberi kesan kepada pusat graviti dan jarak jatuhan?

Maidon menjawab: “Saya tidak pasti.”

Setelah saksi selesai memberi keterangan, mahkamah memerintahkan patung itu disimpan dalam milikan polis.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung dengan saksi keenam, iaitu pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papa, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, memberi keterangan.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.