SHAH ALAM, 10 Sept: Nama Ain Husniza Saiful Nizam mula dikenali apabila keberaniannya pada 2021 mempersoalkan gurauan berunsur lucah oleh seorang guru di TikTok mencetuskan gelombang kesedaran nasional.
Dari situ lahir gerakan #MakeSchoolASaferPlace yang membuka ruang ribuan pelajar bersuara tentang gangguan seksual di sekolah.
Kini, aktivis muda berusia 24 tahun itu tampil dengan tuntutan baharu iaitu Akta Anti-Buli yang akan melindungi pelajar di sekolah dan institusi pendidikan.

“Undang-undang gangguan seksual mengambil masa 30 tahun untuk diluluskan, tapi suara orang muda mempercepatkan prosesnya.
Akta anti-buli pula kita perlukan sekarang, bukan 10 tahun lagi,” tegas Pengasas Pocket of Pink itu ketika ditemu bual dalam program Siapa Tahu? terbitan Media Selangor baru-baru ini.
Bagi Ain, keutamaan harus diberikan kepada suara generasi muda kerana merekalah yang paling merasai kesan langsung daripada setiap polisi pendidikan.
“Kebanyakan penggubal dasar hari ini berusia 40-an atau 50-an. Sedangkan yang terkesan ialah orang muda.
Jadi kenapa mereka tidak ada di meja yang membincangkan undang-undang?” soal Ain.
Beliau berhasrat menggerakkan komuniti anak muda agar terlibat aktif memberi input kepada Parlimen dan kerajaan, agar suara mereka tidak hanya bergema di media sosial tetapi turut mempengaruhi pembentukan dasar negara.
Dari TikTok ke gelombang perubahan
Video ringkas yang dimuat naik di TikTok pada 2021 itu menjadi pencetus kepada perbualan nasional. Hasilnya, suara pelajar yang selama ini terpinggir mula mendapat perhatian masyarakat dan pembuat dasar.
Kempen #MakeSchoolASaferPlace memberi tekanan awam sehingga menjadi salah satu pemangkin utama kepada kelulusan Akta Gangguan Seksual 2022 (Akta 840), satu langkah besar dalam perlindungan undang-undang terhadap mangsa gangguan seksual.
Tidak terhenti di situ, Ain bersama sekumpulan anak muda menubuhkan Pocket of Pink yang memberi fokus kepada pendidikan seksualiti komprehensif, hak pelajar, serta usaha melawan budaya senyap dalam isu gangguan dan buli di sekolah.
Kempen ini digerakkan secara akar umbi melalui media sosial, bengkel kesedaran, dan sesi libat urus dengan komuniti pelajar.
“Apabila guru melaporkan kes buli, ia boleh menjejaskan KPI sekolah lalu menurunkan dana. Sistem ini tidak memberi insentif untuk melapor, sebaliknya mendorong budaya diam,” jelasnya.

Jelasnya, perubahan budaya hanya boleh berlaku sekiranya wujud dasar jelas yang melindungi mangsa, bukan sekadar menjaga reputasi institusi.
Trauma jadi kekuatan
Langkah beraninya tidak terlepas daripada kecaman hebat di media sosial. Ain mengakui pernah mengalami depresi dan perlu menjalani sesi terapi mingguan.
Namun, sokongan keluarga serta keberanian pelajar lain yang tampil berkongsi pengalaman menjadikan trauma itu sebagai sumber kekuatan baharu.
“Walaupun saya melalui depresi, saya tahu ramai pelajar lain memerlukan suara saya untuk pertahankan hak mereka. Itu yang menguatkan saya,” katanya.

Langkah Ain menentang budaya senyap di sekolah menjadikannya sasaran serangan dalam talian, termasuk tohmahan serta ugutan yang mencabar ketahanannya sebagai seorang remaja.
Namun, pengalaman itu mengasuhnya menjadi lebih matang dan berdaya tahan. Baginya, setiap kata sokongan daripada mangsa buli dan gangguan lain adalah peringatan bahawa keberaniannya mempunyai makna besar.