Projek ganti paip lama terpanjang, terbesar dalam sejarah Rawang

9 Sep 2025, 1:00 PM
Projek ganti paip lama terpanjang, terbesar dalam sejarah Rawang
Projek ganti paip lama terpanjang, terbesar dalam sejarah Rawang

GOMBAK, 9 SEPT: Penggantian paip lama sepanjang hampir 13 kilometer (km) giat dijalankan di empat perumahan di Bandar Country Homes, Rawang melibatkan kira-kira 1,500 isi rumah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang berkata ini merupakan projek terbesar di kawasan itu yang akan memberi bekalan air lebih stabil tanpa masalah tekanan rendah sekali gus mengelak insiden paip pecah berulang.

"Projek tersebut bermula 5 Ogos lalu dan dijangka siap pada Jun tahun depan dengan kos keseluruhan berjumlah RM14.5 juta," kata Chua Wei Kiat ketika meninjau projek berkenaan hari ini.

Kawasan terlibat ialah Fasa 3, Fasa 4, Fasa 12 dan Fasa 13, Bandar Country Homes.

Jelas beliau, Fasa 3 dan Fasa 4 melibatkan penggantian paip sepanjang 6.2km dengan kos RM7.2 juta, manakala Fasa 12 dan Fasa 13 sepanjang 6.5km dengan kos RM7.3 juta.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat (dua, kanan) ketika meninjau projek penggantian paip lama di empat perumahan di Bandar Country Homes, Rawang. Foto Facebook Chua Wei Kiat

Chua menambah, paip di Fasa 12 dan Fasa 13 telah berusia antara 30 hingga 40 tahun serta kerap pecah sehingga menjejaskan kestabilan bekalan air dan menyusahkan penduduk.

“Oleh itu, saya berterima kasih kepada Air Selangor kerana melaksanakan projek penggantian ini.

"Sepanjang tempoh kerja baik pulih, pihak kontraktor juga berkomunikasi dengan penduduk mengenai butiran kerja, manakala selepas siap, jalan raya akan diturap semula,” jelasnya.

Menurut beliau, kerja penggantian paip juga dilaksanakan di Kampung Baru Rawang, Kampung Sungai Terentang dan Kampung Lee Kim Sai dalam tempoh empat hingga lima tahun kebelakangan ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619