KWSP fokus bina semula simpanan pencarum selepas RM145 bilion dikeluarkan

7 Sep 2025, 1:36 PM
KWSP fokus bina semula simpanan pencarum selepas RM145 bilion dikeluarkan
KWSP fokus bina semula simpanan pencarum selepas RM145 bilion dikeluarkan
KWSP fokus bina semula simpanan pencarum selepas RM145 bilion dikeluarkan

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang berusaha membina semula simpanan pencarum selepas RM145 bilion dikeluarkan menerusi empat fasiliti pengeluaran berkaitan Covid-19, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata pengeluaran tersebut melibatkan 8.2 juta pencarum melalui i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas.

“Oleh itu, tumpuan kini diberikan untuk mengukuhkan semula simpanan persaraan dan memastikan ahli menikmati pendapatan persaraan yang mampan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Foto BERNAMA

Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbi Muda yang ingin mengetahui sama ada pencarum mempunyai simpanan yang mencukupi bagi menghadapi usia pencen mereka.

Amir Hamzah berkata kerajaan juga tidak berhasrat memperkenalkan pengeluaran baharu memandangkan struktur akaun KWSP telah dirombak semula dengan mewujudkan Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3 serta Akaun 3 bersifat fleksibel bagi pengeluaran untuk kecemasan.

Katanya KWSP juga sedang meneliti cadangan memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan untuk ahli baharu yang dijangka diluluskan dalam tempoh beberapa tahun akan datang manakala pencarum sedia ada boleh memilih untuk beralih kepada skim tersebut.

“Skim ini masih dalam penelitian dan akan diluluskan mungkin dalam tempoh beberapa tahun lagi. Pencarum sedia ada boleh memilih untuk berganjak kepada skim ini,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619