SABAK BERNAM, 7 SEPT: Mengangkat semangat perpaduan dan kekeluargaan sebagai teras, Karnival Bendang Selangor 2025 menghimpunkan komuniti tempatan dalam acara yang meraikan warisan pesawah serta merancakkan ekonomi desa.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata penganjuran karnival ini memberi ruang besar kepada rakyat untuk kembali menghargai nilai budaya dan warisan khususnya berkaitan dengan aktiviti bendang yang menjadi identiti masyarakat Sabak Bernam.

“Karnival ini adalah platform terbaik untuk merapatkan hubungan sesama masyarakat. Ia memperkukuh semangat kekeluargaan dalam suasana santai tetapi penuh makna.
“Penanaman padi bukan sekadar sumber pendapatan, ia mencerminkan budaya hidup masyarakat di sini. Kita mahu penduduk terus mempertahankan tanah warisan, jangan biarkan ia tergadai atas nama pembangunan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Bendang Selangor di Semarak Padi Homestay, di sini, malam tadi.

Izham turut menegaskan pembangunan pesat yang berlaku di Sabak Bernam wajar dimanfaatkan untuk merancakkan ekonomi tempatan, namun masyarakat tidak boleh leka sehingga mengabaikan tradisi turun-temurun.
Menurutnya lagi, karnival tersebut akan dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan Selangor, sekali gus berpotensi menarik pelancong domestik dan antarabangsa untuk merasai keunikan gaya hidup bendang.
