Rokok, vape antara punca utama kerosakan paru-paru di Malaysia

6 Sep 2025, 1:00 PM
Rokok, vape antara punca utama kerosakan paru-paru di Malaysia

PETALING JAYA, 6 SEPT: Tabiat merokok dan penggunaan vape dikenal pasti sebagai antara punca utama kerosakan paru-paru dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata paru-paru merupakan organ paling mudah terdedah kepada pelbagai bentuk serangan sekali gus menyumbang kepada peningkatan penyakit kronik seperti kanser paru-paru, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), asma, pneumonia, tuberkulosis (TB), influenza dan COVID-19.

“Paru-paru merupakan organ paling ‘dirosakkan’ dalam badan manusia. Selain perbuatan terhadap diri sendiri, bahaya pekerjaan dan persekitaran turut menyumbang kepada perosakan paru-paru,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Live, Laugh, Lungs sempena Hari Paru-Paru Sedunia di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata selain tabiat merokok dan menghisap vape, faktor pekerjaan seperti pendedahan kepada asbestos, silika dan sebatian kimia berbahaya termasuk benzin juga boleh mencetuskan penyakit paru-paru serius khususnya dalam kalangan pekerja industri.

“Benzin, sebagai contoh, terbukti sebagai karsinogen yang boleh menyebabkan kanser. Pekerja yang terdedah kepada bahan kimia sebegini memerlukan perlindungan dan kawalan yang ketat,” katanya.

Selain itu, katanya paru-paru turut menjadi sasaran mikroorganisma patogen sehingga menyebabkan penyakit seperti TB, influenza dan COVID.

Dzulkefly berkata statistik menunjukkan penyakit pernafasan masih membebankan sistem kesihatan negara termasuk 26,183 kes baharu TB direkodkan pada 2024 manakala asma pula menjejaskan hampir setengah juta kanak-kanak berusia di antara 6 hingga 17 tahun serta lebih 1.4 juta orang dewasa telah didiagnosis dengan penyakit sama.

“Kanser paru-paru kekal antara tiga kanser utama di Malaysia manakala asma dan COPD memberi impak besar kepada kualiti hidup masyarakat termasuk kehilangan produktiviti akibat tidak hadir bekerja atau sekolah,” katanya.

Dzulkefly berkata sehingga Disember tahun lepas, seramai 4,916 perokok yang berdaftar dengan 857 klinik berhenti merokok di seluruh negara telah berjaya menghentikan tabiat tersebut, mewakili 56.8 peratus daripada 8,659 individu yang komited untuk berhenti merokok.

Kempen Live, Laugh, Lungs anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Kenvue Malaysia dan Watsons Malaysia dengan sokongan Kementerian Kesihatan (KKM) berlangsung pada 3 hingga 7 Sept ini.

Antara pengisian kempen ialah saringan kesihatan paru-paru menerusi klinik bergerak dengan teknologi X-ray dada berasaskan kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan berhenti merokok serta aktiviti pendidikan interaktif mesra keluarga.

Selain itu, vaksinasi influenza turut ditawarkan kepada warga emas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619