SHAH ALAM, 6 SEPT: Negeri Selangor mencatatkan prestasi cemerlang dalam sektor pelancongan apabila menerima 4.14 juta pelancong bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, peningkatan 13.8 peratus berbanding tempoh sama 2024.
Daripada jumlah itu, 72 peratus atau 2.97 juta ialah pelancong domestik manakala 28 peratus lagi membabitkan pelancong antarabangsa iaitu seramai 1.17 juta orang, dedah laporan Statistik Pelancongan Negeri Selangor Januari-Jun 2025 dikeluarkan Tourism Selangor.
Lima negeri utama penyumbang pelancong domestik ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Perak, Pahang dan Pulau Pinang yang merangkumi 34.1 peratus daripada keseluruhan jumlah.
Bagi pelancong antarabangsa pula, pasaran dari China, Singapura, Indonesia, Jepun dan India kekal sebagai penyumbang utama dengan sumbangan 51 peratus dari jumlah keseluruhan.
Statistik juga menunjukkan prestasi bulan Jun 2025 sebagai bulan tertinggi menerima pelancong, manakala Mac mencatatkan angka terendah sepanjang enam bulan pertama.
Dalam masa sama, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjadi kawasan paling banyak menerima kehadiran pelancong dengan jumlah mencecah 1.04 juta orang atau 25.1 peratus daripada keseluruhan kedatangan ke negeri ini.
Kadar Purata Penginapan (KPP) hotel di seluruh Selangor berada pada tahap 54 peratus, dengan catatan tertinggi dicapai pada bulan Jun iaitu 70 peratus. Majlis Perbandaran Selayang merekodkan KPP tertinggi iaitu 63 peratus.
Sektor pelancongan Selangor turut menyumbang kepada ekonomi apabila jumlah perbelanjaan pelancong mencecah RM6.69 bilion, meningkat 13 peratus berbanding RM5.92 bilion bagi tempoh sama 2024.
Daripada jumlah itu, perbelanjaan pelancong antarabangsa menyumbang 72 peratus atau RM4.79 bilion manakala pelancong domestik menyumbang 28 peratus atau RM1.89 bilion.
Peningkatan ini turut dipacu kempen Tahun Melawat Selangor 2025 seperti "Surprising Selangor!" dan "Selangor Kan Ada!" yang memperkukuh promosi pelancongan ke negeri ini.