KUALA SELANGOR, 6 SEPT: Selangor terus memperluas sektor pertanian bernilai tinggi menerusi pelbagai inisiatif baharu melibatkan tanaman, ternakan dan akuakultur.
EXCO pertanian berkata selain tanaman seperti halia, melon, vanila, nanas, nangka dan cendawan, Kerajaan Negeri turut mengekalkan fokus terhadap tanaman ruji strategik seperti padi dan jagung.
“Tahun ini memang kita sudah mula laksanakan banyak tapi kita kena ingat, Selangor ini sebab kita tanah tidak sebanyak itu, jadi kita lebih fokus kepada pembakaan dan pembenihan.
“Jadi tahun ini, di Hulu Selangor kita sudah buat tanaman pembenihan halia dan nurseri pembenihan kelapa matag sudah berjalan setahun lebih di Sungai Tawar (Sabak Bernam),” kata Dato’ Ir Izham Hashim.
Menurut beliau, selain tanaman bernilai tinggi, Selangor juga memberi tumpuan kepada akuakultur dan ternakan seperti kambing baka Black Belly Barbados di Olak Lempit serta pembakaan udang harimau dan udang putih di Sungai Tawar (Sabak Bernam).
“Jadi semua itu berjalan dengan baik dan kita sudah dapat peruntukan yang agak besar tahun ini untuk kita perluaskan ladang-ladang ini.
“Tahun depan kita akan masuk kepada Nangka J33 yang semua bernilai tinggi. Nanas pun sudah bermula lama dan kemudian vanila yang termasuk dalam senarai pertanian bernilai tinggi,” katanya.
Jelasnya, tanaman ruji strategik seperti padi dan jagung akan diteruskan sebagai langkah mengekalkan bekalan makanan yang stabil.
“Kita akan teruskan, kita sudah kenal pasti di Sabak Bernam sebanyak dua blok untuk peningkatan hasil padi. Selain itu, jagung kita sudah perluaskan dengan sekarang mencecah 300 ekar,” katanya.
Sebelum ini Izham berkata lebih RM20 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi membantu warga tani yang terlibat aktif dalam sektor pertanian, penternakan dan industri asas tani.