Malaysia hantar 20,000 naskhah al-Quran ke Kemboja, perkukuh syiar Islam

5 Sep 2025, 1:51 PM
Malaysia hantar 20,000 naskhah al-Quran ke Kemboja, perkukuh syiar Islam

PUTRAJAYA, 5 SEPT: Malaysia hari ini menghantar 20,000 naskhah al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Khmer ke Kemboja, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh syiar Islam di peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata penghantaran itu dilaksanakan melalui Kompleks Nasyrul Quran dengan kerjasama Yayasan Restu serta penyumbang wakaf.

“Peluncuran ini bersempena sambutan Maulidur Rasul SAW dan diadakan tidak lama selepas ulang tahun kemerdekaan negara. Ia melambangkan semangat rahmatan lil ‘alamin, rahmat yang dikongsi merentasi bangsa dan sempadan negara, seiring dengan erti kemerdekaan yang membebaskan manusia daripada kejahilan dan penindasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini, 420,000 naskhah al-Quran telah dihantar ke pelbagai destinasi antarabangsa, termasuk 400,000 naskhah sebelum ini dan tambahan 20,000 naskhah ke Kemboja hari ini.

“Menjelang akhir 2025, sebanyak 230,000 naskhah tambahan sedang dicetak untuk dihantar ke Jerman, Nepal, Sepanyol, Rusia, Sweden, Amerika Syarikat, negara di Amerika Selatan serta Afrika.

“Malaysia kini muncul sebagai pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia melalui Kompleks Nasyrul Quran sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab penyebaran al-Quran antarabangsa, selaras dengan aspirasi Masyarakat MADANI yang diperjuangkan kerajaan,” katanya.

Mohd Na’im turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi pencetus serta duta penyebaran al-Quran ke seluruh dunia melalui lawatan rasmi beliau ke pelbagai negara.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Restu, Jabatan Kemajuan Islam Malausia (JAKIM), Yayasan Wakaf Malaysia, penyumbang wakaf dan rakan strategik dalam serta luar negara yang menjayakan misi berkenaan.

“Semoga usaha ini diberkati Allah SWT dan terus menjadi amal jariah yang memberi manfaat berpanjangan kepada umat Islam seluruh dunia,” katanya.

-- BERNAMA

TAG: Malaysia, al-Quran, Kemboja, syiar Islam, Mohd Na’im Mokhtar

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619