Asean didesak perkukuh kerjasama tangani krisis jerebu

5 Sep 2025, 12:05 PM
Asean didesak perkukuh kerjasama tangani krisis jerebu

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Negara Asean mesti meningkatkan usaha kolektif dan menunjukkan kemahuan politik lebih kuat untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP), kata aktivis alam sekitar Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee dalam kenyataan hari ini, berkata walaupun perjanjian itu wujud dan merupakan perjanjian serantau pertama seumpamanya di dunia, pelaksanaannya masih lemah dan tidak konsisten.

Beliau berkata kesan perubahan iklim yang semakin teruk termasuk peningkatan suhu dan musim kemarau berpanjangan menjadikan pelaksanaan AATHP semakin mendesak.

“Jerebu bukan lagi hanya isu alam sekitar. Ia telah menjadi masalah kesihatan yang serius, beban ekonomi dan ancaman kepada kestabilan serantau. Jutaan orang terkesan daripada penutupan sekolah, komplikasi kesihatan dan gangguan terhadap sumber pendapatan,” katanya.

Lee menegaskan bahawa perjanjian di atas kertas tidak mencukupi kerana apa yang diperlukan ialah tindakan tegas, penguatkuasaan dan kerjasama semua pihak.

Lee mencadangkan langkah pencegahan lebih kukuh mesti diutamakan, termasuk undang-undang yang ketat terhadap pembakaran terbuka dan pembukaan tanah berskala besar, selain perkongsian maklumat dan pemantauan lebih telus serta tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu.

“Kerjasama serantau melalui penggemblengan sumber, kepakaran dan teknologi untuk mengesan titik panas lebih awal dan mengawal kebakaran sebelum merebak, serta pengintegrasian tindakan iklim dengan menyelaraskan pencegahan jerebu bersama juga diperlukan bagi menangani punca masalah ini,” katanya.

Lee berkata Asean telah lama berpegang kepada prinsip konsensus dan kerjasama, menjadikan kini tiba masa untuk membuktikan semangat itu boleh diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar untuk penduduk rantau ini.

“Kesihatan dan kesejahteraan jutaan rakyat tidak boleh terus dikompromi saban tahun. Krisis jerebu adalah ujian kepada kemahuan bersama kita. Kita mesti bangkit dan bertindak tegas untuk rakyat, alam sekitar dan generasi akan datang,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619