SHAH ALAM, 5 SEPT: Selangor membuktikan konsep Ummah Madani bukan sekadar retorik, sebaliknya dizahirkan melalui pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata usaha tersebut meliputi pelbagai aspek termasuk pendidikan, ekonomi dan kebajikan rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Selangor 1447H/2025M berkata antara inisiatif tersebut ialah memperluas akses pendidikan tinggi melalui penubuhan Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS).
“Ini menjadi bukti komitmen untuk kita melahirkan modal insan berilmu dan berakhlak mulia,” katanya dalam ucapan sembah sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor 1447H/2025 di Masjid Negeri, di sini, hari ini.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis sambutan berkenaan diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah selain kira-kira 600 hadirin.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maulidur Rasul Selangor 1447H/2025M kepada bekas Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Profesor Adjung Dr Syeikhul Maqari’ Othman Hamzah.
Menurut Ahmad Fadzli, daripada aspek ekonomi, Selangor terus menjadi nadi industri negara dengan hab perindustrian di Shah Alam, Klang dan Sepang yang bukan saja membuka peluang pekerjaan tetapi menjadikan negeri ini sebagai pintu masuk pelaburan antarabangsa.
“Selain itu, Kerajaan Negeri memperkukuh kesejahteraan rakyat dengan inisiatif seperti Rumah Selangorku, Bas Smart Selangor serta program bantuan kebajikan yang menyentuh kehidupan golongan B40 melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP).
“Dalam menjaga kelestarian alam, Selangor juga menggerakkan agenda pemeliharaan sungai, tadahan air dan kawasan hijau sebagai warisan generasi akan datang selari dengan maqasid syariah iaitu memelihara nyawa dan kelangsungan hidup.
“Maka jelaslah, membangun Ummah Madani menuntut kita semua untuk bersama-sama menggembleng tenaga. Selangor akan terus gemilang sekiranya kita meneladani Rasulullah SAW, memegang teguh nilai integriti, memperkukuh perpaduan serta menzahirkan akhlak mulia dalam segenap aspek kehidupan,” katanya.