RUU Kredit Pengguna dijangka diwarta akhir tahun ini

5 Sep 2025, 6:44 AM
RUU Kredit Pengguna dijangka diwarta akhir tahun ini

PUTRAJAYA, 5 SEPT: Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 (RUUKP) dijangka diwartakan pada akhir tahun ini dan akan memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna melalui kawal selia caj keterlaluan dan amalan kutipan hutang yang beretika.

Dalam masa yang sama, ia mewujudkan kerangka kawal selia yang konsisten untuk pemain industri kredit, sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap sistem kewangan negara, kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Dewan Negara pada 4 Sept telah meluluskan RUUKP, sekali gus memperkukuh kawal selia terhadap industri kredit pengguna dan melindungi rakyat daripada amalan tidak adil, tidak telus serta menindas.

“Buat masa ini, enam perkhidmatan kredit pengguna masih tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak, termasuk skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, perkhidmatan kutipan hutang dan pengurusan hutang.

“Dengan kelulusan RUUKP, semua perkhidmatan ini akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Fasa 1 apabila akta ini dikuatkuasakan,” kata kementerian itu.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata RUUKP akan menjadi akta induk yang diguna pakai oleh semua Pihak Berkuasa Pengawal Seliaan dan Penyeliaan (RSA) dalam memantau aktiviti kredit pengguna di bawah agensi masing-masing.

“RUUKP merupakan manifestasi reformasi berpengaruh untuk memperkukuh perlindungan pengguna dan mengatur semula landskap kredit negara.

“Kerajaan MADANI tidak memandang remeh prinsip keadilan dan keterangkuman dalam semua aspek tadbir urus demi memastikan kemaslahatan rakyat terjamin. Keyakinan terhadap institusi juga diharap dapat dipulihkan, seperti digagaskan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” katanya dalam kenyataan itu.

RUUKP juga membuka laluan kepada penubuhan SKP, sebuah badan bebas yang akan mengawasi penyedia kredit yang sebelum ini tidak dikawal.

Selain itu, SKP mempunyai empat fungsi utama iaitu menasihati Menteri Kewangan dalam semua perkara berkaitan kredit pengguna; menasihati kerajaan dalam pembentukan dasar kebangsaan; menggalakkan perlakuan adil, profesional dan bertanggungjawab oleh pemberi kredit; serta merangsang perkembangan industri kredit pengguna yang cekap dan telus.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619